Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Membunuh, hatta serangga pun dianggap perbuatan salah. Jenayah sifatnya tetapi Siti tak pernah sedar hakikat itu sehinggalah apabila Siti ditinggalkan dan dikhianati bekas suami Siti.

Sejak itu Siti sedar, membunuh harapan itu juga sebenarnya - dan biasanya - adalah salah. Jenayah.

Bunuh juga sinonim dengan hapus. Kerana membunuh akan menghapuskan.

Ironi lagi, membunuh itu salah, tetapi menghapuskan tak semestinya salah. Membunuh orang itu salah, menghapus denggi itu wajar - sekalipun untuk menghapus denggi, kita perlu membunuh nyamuk Aedes.

Betapa kita mudah terperangkap dengan simpang siur pemaknaan perkataan yang mengungkap tingkah laku atau peri perbuatan.

Dulu, Siti pun bingung memikirkannya.

Kerana desakan atau terpaksa?

Akhirnya, Siti sedar nilai makna bergantung kepada situasi. Maknanya, perbuatan bunuh - jika dalam situasi tertentu - bukan suatu kesalahan.

Misalnya, seseorang perawan terpaksa menikam lelaki yang cuba merogolnya hingga menyebabkan kematian lelaki durjana itu, itu bukan suatu kesalahan kerana ia tindakan mempertahankan diri.

Dalam konteks itu, wujud faktor desakan atau keterpaksaan. Sekaligus bermaksud, perbuatan yang nilai maknanya negatif - jika wujud faktor sedemikian, bertukar menjadi neutral kalaupun bukan positif.

Bagaimana pula dengan perbuatan melontar suar ke tengah padang perlawanan?

Terang-terang ia perbuatan negatif - menggagalkan baki perlawanan, merosakkan reputasi negara dan melanggar budaya ketimuran amalan kita.

Namun, tidak kurang pihak yang mewajarkan pelakuan itu - sebagai protes terhadap FAM yang dilihat meranapkan sukan bola sepak tanah air sejak sekian lama.

Maknanya, wujud faktor desakan dalam konteks itu. Jika begitu, di mana salahnya? Dan andai diambil kira kegagalan pimpinan FAM selama 30 tahun, melontar suar bukan perbuatan berani mana pun! Pengecut macam bekas laki Siti.

Bukan bakar stadium, bukan pukul pengurusan FAM. Bukan, bukan, bukan!

Fikir macam Siti

Jika ikut skala mata Siti, melontar suar ke padang tu sopan sangat kalau dibandingkan dengan kerosakan bola sepak negara yang kita cintai sangat-sangat ini.

Biar Siti bagi perumpamaan: Bola sepak ibarat perawan dan FAM adalah jantan ganas, rakus dan penuh nafsu. Jika diandaikan bola sepak kita diperkosa, apakah tindakan paling wajar untuk 'perawan' itu?

Jawapannya - tentulah mempertahankan diri. Jika ketika bergelut mempertahankan maruah itu si jantan buas itu terbunuh, bagaimana?

Cuba tuan-tuan berfikir dan bertanya macam Siti: Adakah penonton bola sepak kita membaling suar setiap kali skuad bola sepak negara beraksi? Tentu tidak. Kemarahan abang-abang Ultras Malaya tu sebenarnya pada Siti bergantung kepada situasi.

Perawan yang cuba dirogol tidak harus membunuh sewenang-wenangnya atas nama menjaga kehormatan diri. Kerana keutamaan sebenar ialah menyelamatkan diri. Maka, tendanglah, tumbuklah dan larilah terlebih dahulu.

Jadi, sebelum kita menghalalkan perbuatan melontar suar, apakah fanatikus bola sudah melakukan protes lain? Memboikot perlawanan, misalnya. Ada sesiapa yang boleh jawab soalan Siti?

Selain itu, kesan daripada sesuatu perbuatan juga tidak kurang pentingnya. Jangan pula kerana galak memprotes, perkembangan bola sepak terbantut. Dihalang beraksi pada peringkat antarabangsa untuk tempoh panjang, misalnya.

Namun, terlalu memikirkan kesan juga bukan bagus sangat kerana ia boleh menimbulkan ketakutan yang sebenarnya hanya bersifat imaginasi.

Siti bukannya suka sangat bab berimaginasi ni. Lama sangat berfantasi ni, kita yang letih akhirnya. Pada masa sama ranking bola sepak sahaja terus terkulai macam, er... nilai mata wang kita.

Jadi, salah betulnya melontar suar harus dilihat dalam konteks situasi. Siti melihat dari konteks Siti dan anda pula mungkin mempunyai konteks sendiri.


SITI MERAH MANJA adalah pembaca Malaysiakini yang tegar memberi sokongan kepada Liverpool dan Harimau Malaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS