Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rasa tidak berpuas hati dan bosan dengan tahap bola sepak negara mungkin mendorong pihak tertentu mengamuk di Stadium Shah Alam malam ini.

Hanya berbaki kira-kira tiga minit sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan dari Hong Kong, Liu Kwok Man, sekumpulan penonton membakar suar dan membalingnya ke kawasan balapan.

Turut dibakar, bom asap serta mercun.

Ketika kejadian kumpulan Ultras Malaya didakwa menyanyikan lagu mengejek dan mengutuk FAM.

Keadaan menjadi lebih bahaya apabila penonton melepaskan mercun roket ke arah padang, memaksa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan diarahkan meninggalkan padang.

Perlawanan sepatutnya bertahan selama kira-kira tiga minit lagi dan kedudukan ketika itu Arab Saudi mendahuli Harimau Malaya 2 - 1.

FAM lost control of their own stadium. Fans throwing flares were wrong. Both at fault tonight.

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) September 8, 2015

Penonton yang didakwa daripada kumpulan Ultras Malaya juga dikatakan mencabut tempat duduk dan membalingnya ke arah padang.

Ia adalah rentetan daripada kekecewaan peminat bola sepak yang bosan dengan prestasi hambar pasukan negara setakat ini.

Khamis lalu skuad kebangsaan diaibkan Emiriah Arab Bersatu 0 - 10 di Abu Dhabi.

Keadaan kembali tenang kira-kira 15 minit kemudian hasil kawalan yang dilakukan pihak polis.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berada di stadium menyatakan kekesalan dengan apa yang berlaku.

"Saya ada di Stadium SA malam ini. Melihat sendiri insiden yang memalukan. Baling suar salah. Kawalan stadium gagal," kata Khairy melalui Twitter.

Beliau juga turut menyalah FAM yang gagal mengawal stadium dan penyokong.

"FAM hilang kawalan ke atas stadium sendiri. Peminat salah kerana membaling suar. Kedua-duanya (FAM dan penyokong) bersalah," tambah Khairy.

RASMI: Perlawanan Malaysia lwn Arab Saudi telah diberhentikan oleh pengadil perlawanan. Keputusan lanjut akan diputuskan oleh FIFA.

— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 8, 2015

Terdahulu, skuad kebangsaan membuat kejutan apabila mendahului Arab Saudi melalui jaringan Syafiq Rahim pada minit ke-70.

Namun kedudukan itu tidak mampu dipertahankan walau untuk lima minit kerana pada minit 73, Taiseer Al-Jassam menyamakan kedudukan.

Tiga minit kemudian satu lagi gol disumbat oleh Mohammed Al-Sahlawi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS