Paling Popular
Terkini
2

KOMENTAR | Adakah boleh memberikan seorang banduan kebenaran menjalani pemenjaraan di rumah kalau tahanan di rumah tidak ada dalam Perlembagaan?

Saya bertanya kerana daripada berbagai-bagai laporan media yang merujuk kepada bermacam-macam sumber, gambaran yang tercetus adalah tidak ada peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan banduan dipenjara di rumah.

Ketiadaan peruntukan ini terbukti apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan tahun 2025 Oktober lalu berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif (kepada penjara) untuk kesalahan tertentu.

Dalam bahasa paling mudah, buat masa ini tidak ada peruntukan undang-undang untuk memerintahkan agar banduan dipenjarakan di rumah.

Dalam bahasa undang-undang, dikatakan "Malaysian law currently lacks specific provisions for house arrest as an independent punishment."

Iaitu, undang-undang Malaysia buat masa ini tidak ada peruntukan khusus bagi tahanan di rumah sebagai hukuman yang berasingan atau tersendiri.

Cuma, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menetapkan (designate) mana-mana tempat seperti rumah, bangunan dan kompaun sebagai penjara untuk tujuan menahan banduan.

Pemenjaraan di rumah lazimnya melibatkan pemakaian alat pengesan (monitoring device), pergerakan yang terhad, larangan minum arak dan berdekatan dengan orang lain. Maksudnya bukanlah macam orang biasa duduk di rumah.

Apabila sesuatu tempat diisytiharkan sebagai penjara, ia tentulah akan dikawal oleh pengawal penjara. Bukan oleh isteri yang garang atau pengawal keselamatan dari Nepal.

Saya yakin akan dipasang juga papan tanda yang mengatakan ini adalah penjara yang dikawal oleh warden bersenjata. Ini ada relevan kepada keselamatan orang ramai yang lalu lalang.

Banduan Abdullah Ang bebas keluar masuk penjara

Dalam ucapannya, Anwar antara lain berkata "ia adalah dengan syarat ditetapkan dan dipantau oleh pegawai penjara."

Kalau kita masih ingat, ada seorang banduan ahli perniagaan bernama Abdullah Ang yang mendapat layanan istimewa sampai boleh keluar penjara untuk berkebun. Dia pun penjenayah kolar putih juga.

Gambar hiasan.

Itu yang kita tahu sebab didedahkan oleh surat khabar The Malay Mail pada tahun 1989.

Yang kita tidak tahu, wallahualam. Masa itu saya pengarang Kumpulan New Straits Times yang termasuk The Malay Mail.

Saya sengaja menyebut pemenjaraan di rumah bukan tahanan di rumah kerana orang yang hendak ditahan di rumah itu adalah banduan. Banduan tidak ditahan. Banduan dipenjarakan.

Kepentingan bangsawan, elit

Saya juga tidak mahu dituduh menghina orang edan (orang tidak siuman) yang banyak ditahan di rumah.

Di kampung saya pada tahun 1950-an dan 60-an, banyak orang macam itu dikurung di rumah. Kalau teruk sangat barulah dihantar ke "Rumah Orang Gila" di Tanjung Rambutan.

Natijahnya, negara akan kacau-bilau dan rakyat jelata boleh jadi edan kalau orang berkuasa melakukan sesuka hati untuk kepentingan sesama bangsawan dan golongan elit.

Kita wajib hormati batu asas kenegaraan kita. Kita adalah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kerajaan mentadbir dengan kehendak parlimen. Kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan dan konvensyen.

Aspek perlembagaan dan konvensyen inilah yang dibahaskan dalam semua tindakan yang melibatkan Mohd Najib Abdul Razak dalam kedudukannya sebagai banduan.

Kalau di Eswatini, Raja bukan saja boleh bagi pengampunan kepada orang macam Mohd Najib malah boleh lantik jadi perdana menteri semula.

Ini adalah kerana Raja Eswatini, Mswati III adalah raja berkuasa mutlak. Tetapi di negara kita tidak boleh sebab Raja tertakluk kepada perlembagaan dan konvensyen.

Cukuplah memanjakan dan memberi keistimewaan kepada Mohd Najib. Cuba baca kupasan peguam Shamsuddin Nawawi ini:

"Najib Razak sudah didapati bersalah atas tujuh kesalahan. Kena penjara 12 tahun untuk salah guna kuasa. Sepuluh tahun tiap-tiap satu untuk tiga kesalahan CBT. Sepuluh tahun tiap-tiap satu untuk tiga kesalahan money laundering. Denda RM210 juta, gagal bayar lima tahun penjara. Itu ertinya tempoh penjaranya ialah 72 tahun. Tetapi mahkamah perintahkan untuk jalankan serentak bersamaan 12 tahun sahaja."

Ertinya, di mahkamah pun dia sudah dibagi layanan timbang rasa yang cukup istimewa. Lepas itu dibagi pula pengampunan awal.

Penjara 12 tahun jadi enam tahun dan denda RM210 juta jadi RM50 juta. Nak bersolidariti apa lagi?


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS