Najib tetap kembali ke penjara kerana sesi mahkamah rayuan siang tadi hanya untuk mengesahkan kewujudan titah adendum dari Istana Pahang tersebut, yang mana kes ini akan dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk pihak kerajaan pula "menjawab" semakan kehakiman. So, it's not over yet. Kena bicara balik di mahkamah tinggi.
Semakan kehakiman yang akan dilaksanakan nanti juga akan menjawab pertanyaan adakah titah adendum (titah arahan tambahan) itu boleh dilaksanakan jika ia dibuat di luar Lembaga Pengampunan Diraja? Adakah ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Seperti kata seorang peguam senior yang juga ahli parlimen Pasir Gudang YB Hassan Karim baru baru ini: "bahawa undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana". Saya jarang bersetuju dengan Pak Hassan Karim tapi kali ini saya fikir dia bercakap berdasarkan undang-undang negara.
Sesi semakan kehakiman nanti juga akan menjawab sama ada konsep tahanan di rumah itu wujud atau tidak dalam Perlembagaan Persekutuan serta batas kuasa Pejabat Peguam Negara untuk menentu-sahkan arahan dari istana agar ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Tiada soal siapa sorok titah adendum itu kerana tiada mana-mana pihak dalam kabinet Kerajaan Madani menafikan kewujudan titah tersebut selama ini. Namun hakim mahkamah tinggi sebelum ini memutuskan bahawa titah adendum itu hanyalah "hearsay" (khabar angin) kerana ia tidak didukung oleh surat dari istana Pahang as a primary source seperti yang telah dibentangkan di mahkamah rayuan hari ini.
Kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu menghormati titah terkini dari YDPA sekarang selaku Ketua Negara bahawa semua rayuan atau permohonan untuk mengurangkan atau meminda apa-apa hukuman bagi banduan hendaklah dilaksanakan melalui Lembaga Pengampunan Diraja. Oleh itu tidak patut ada sebarang desakan terhadap kerajaan atau pemerintah oleh mana-mana pihak banduan dalam soal ini.
Kerajaan Perpaduan (Madani) yang terbina atas cadangan YDPA ketika pasca PRU15 lalu (DYMM Sultan Pahang) masih kekal utuh buat kerja seperti biasa. PAS-PN dan pihak-pihak tertentu yang menunggang isu adendum ini telah gagal untuk menjana tsunami politik sepertimana era Reformasi 1998 dahulu apabila kehadiran mereka di Putrajaya tidak mencapai sasaran walaupun tiada FRU yang menganggu.
Saya sepertimana pendirian majoriti rakyat marhaen negara ini di luar sana tanpa mengira kaum, agama dan status sosial tetap berpendirian bahawa tempat banduan adalah di penjara bukan di rumah. Dan tidak patut wujud "double standard" dalam proses penghukuman serta tindakan undang-undang antara rakyat biasa dengan golongan elitis dalam sistem keadilan negara kita.
MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN ialah ahli PKR dan bekas ahli majlis pimpinan teringgi Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.