Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Kolum
ULASAN | Dosa sekularisme lebih besar dari fitnah dan membunuh

Teori sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama ialah ciptaan manusia dalam kalangan ahli falsafah bukan Islam, termasuk dalam syirik akbar yang menentang akidah tauhid yang diperjuangkan oleh semua anbiya’.

Syirik akbar ialah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah dan ditutup pintu taubatnya selagi amalan syirik itu tidak dibatalkan.

Sekularisme ialah pintu besar yang membuka fitnah dalam urusan agama Allah yang melahirkan berbagai-bagai ideologi ciptaan manusia, seperti fahaman ateisme yang menolak adanya Tuhan pencipta alam yang menjadi fitrah manusia.

Begitu juga, fahaman liberalisme yang menolak manusia ke dalam konsep kebinatangan yang menghinakan manusia sendiri yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Dapat disaksikan ciptaan teori liberalisme yang melampau sehingga hak binatang disamakan dengan hak asasi manusia.

Di samping itu, diciptakan ideologi paling zalim dan senjata paling ganas yang membunuh dan merosakkan kehidupan, dengan hujah nafsu dan salah guna akal yang menggoda kepada kesesatan dan kemusnahan manusia serta alam kelilingnya.

Teori yang sesat ini diimport oleh penjajah ke dalam negara kita pada zaman penjajahannya dan disambung oleh bala tenteranya, termasuk DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Sehinggakan, dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu dan menjadi perjuangan yang disuarakan dengan lantang, lantas mencabar Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Dinyatakan dengan terang dan nyata dalam fasal 2 matlamat DAP, iaitu menegakkan sekularisme yang dihasratkan oleh Suruhanjaya Reid dengan meletakkan Islam di bawah panji-panji sekularisme yang berlainan dengan maksud al-din dalam bahasa al-Quran, bukan perkataan ‘religion’ dalam bahasa Barat.

Maka, DAP menerima keahlian semua kelompok manusia, termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak percaya akan adanya Tuhan yang tidak beragama, malah daripada semua ideologi, termasuk kalangan komunis yang paling ekstrem dan kalangan liberal yang paling bebas.

PAS bertindak membatalkan kerjasama politiknya dengan kumpulan ini kerana beristiqamah kepada prinsip perjuangannya, di samping mereka membuat kenyataan terbuka dan bertindak menentang dasar PAS.

Kepada kalangan yang jahil, ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun sekiranya kembali ke pangkal jalan yang betul dan pintu taubat terbuka dengan luas kepada semua dosa selain syirik akbar.

Kepada kalangan yang takbur dan degil pula, ketahuilah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Perkasa; tiada sesiapa yang dapat melemahkan-Nya dan melepaskan diri daripada-Nya.


ABDUL HADI AWANG ialah presiden PAS dan Ahli PArlimen Marang. Artikel ini pertama kali dimuat naik di media sosialnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS