ULASAN | Tulisan saya ini adalah berdasarkan kepada hujah undang-undang dan hujah syarak tanpa memihak kepada mana-mana ideologi atau parti politik.
Hukuman sebatan telah dilaksanakan ke atas Mohd Affendi Awang, 42 selepas solat Jumaat pada 27 Disember 2024.
Pelaksanaan sebatan itu hanya disaksikan oleh seramai lebih kurang 90 orang sahaja dan diadakan di dalam dewan tertutup di Masjid Al Muktafibillah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.
Penulis adalah antara 90 orang yang diberi peluang untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat tersebut. Jemputan perlu mendaftarkan nama masing-masing dan sebarang peranti telekomünikasi elektronik tidak dibenarkan dibawa masuk. Kesemua jemputan atau pemerhati dipersilakan duduk di atas kerusi yang disediakan. Hanya beberapa pegawai polis dan pegawai penjara yang berada dalam keadaan berdiri mengawasi keadaan.
Sebaik pesalah tiba ke dewan berkenaan, dia dibawa masuk oleh pegawai penjara ke satu bilik khas untuk diperiksa dan diperakui kesihatannya oleh pegawai perubatan Kerajaan yang telah berada di situ.
Pelaksanaan hukuman sebatan tersebut dijalankan oleh tukang sebat dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai penjara (Marang).
Pesalah telah disebat dalam keadaan berdiri dengan berpakaian lengkap (pakaian khas) dan juga memakai pelitup muka. Ia hanya mengambil masa sekitar satu hingga dua minit sahaja.
Semasa proses sebatan dijalankan, suasana tenang dan senyap. Masing-masing menumpukan sepenuh perhatian kepada proses sebatan. Hanya kedengaran suara pegawai penjara yang membilang jumlah sebatan dan bunyi sebatan yang perlahan sahaja.
Penghinaan rendahkan martabat?
Selesai sebatan, pesalah dibawa masuk semula ke bilik khas sebelum dibawa keluar daripada dewan berkenaan dengan kawalan pegawai penjara dan pengawasan pihak polis.
Sebaik selesai, barulah kesemua jemputan pemerhati bangun keluar meninggalkan dewan berkenaan.
Dakwaan sebat di khalayak ramai adalah kejam, tidak berperikemanusiaan, merendahkan martabat dan melanggar hak asasi manusia
Ada kumpulan yang menggesa hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah syariah dihentikan kerana penghinaan awam dan dikatakan tidak selari dengan nilai Islam.
Ada pula pihak lain yang mendakwa sebatan di khalayak ramai adalah kejam, tidak berperikemanusiaan, merendahkan martabat dan melucutkan maruah individu.
Ada pihak lain pula mendakwa dengan membenarkan hukuman sebat seperti ini melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa.
Saya tidak bersetuju dengan dakwaan dan tanggapan ini.
Pertamanya, istilah sebatan “di khalayak ramai” yang digunakan itu sendiri adalah tidak tepat. Hukuman yang dilaksanakan pada Jumaat bukan sebatan di khalayak ramai, akan tetapi ia adalah “sebatan diluar penjara”.
Ada beza antara istilah “sebatan di khalayak ramai” dengan “sebatan di luar penjara. “
Sebat di khalayak ramai ialah sebatan yang boleh disaksikan oleh semua orang samada orang dewasa lelaki atau perempuan atau kanak-kanak, sebagaimana yang dilakukan di Acheh Indonesia dan beberapa negara lain. Sesiapa sahaja yang lalu atau berada di tempat kejadian böleh menyaksikan, hatta boleh merakam video atau mengambil gambar.
Sebaliknya “sebat luar penjara” ialah sebatan syariah yang dilakukan bukan di dalam Penjara, sebaliknya dilaksanakan di luar Penjara. Ia hanya disaksikan oleh sebahagian orang tertentu sahaja, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Khalwat bukan kesalahan hudud
Kebiasaannya sebatan akan dijalankan di dalam penjara kerana tukang sebat adalah dari Jabatan Penjara Malaysia.
Namun, sub-seksyen 125 (3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001 memberikan kuasa kepada Mahkamah syariah untuk mengarahkan hukuman sebat dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian atau suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Pada 2021, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah melancarkan buku prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah.
Walaupun sebahagian prosedur sebatan telah diperuntukkan dalam Seksyen 125 dan 126 Akta/Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri, namun SOP ini memperincikan lagi prosedur operasi standard pelaksanaan sebatan di luar penjara.
Oleh kerana pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara melibatkan banyak agensi iaitu Mahkamah Syariah, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, dan Jabatan Agama Islam Negeri, maka SOP yang seragam diwujudkan bagi membantu agensi-agensi ini melaksanakan tugasan pelaksanaan hukuman secara lebih teratur, efektif, berkesan dan seragam.
Pelaksanaan hukuman sebat yang disaksikan oleh sebahagian orang beriman adalah selari dengan nilai Islam sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 2 berkenaan hukuman sebatan ke atas penzina ghair muhsan (belum pernah berkahwin) yang hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Walaupun kesalahan berkhalwat bukanlah kesalahan hudud (zina) akan tetapi ia adalah kesalahan takzir di mana hukuman bagi kesalahan ini tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Quran dan Hadis.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman takzir terserah kepada pemerintah untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas pesalah, selain daripada hukuman hudud atau qisas. Hukuman takzir adalah bertujuan untuk menghalang pesalah mengulangi perbuatan mereka dan bukan untuk menyiksa mereka.
Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini.
Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta'zir.
Dalam konteks perundangan, hukuman (takzir) ke atas kesalahan berkhalwat di Negeri Terengganu telah diperuntukkan dalam Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Berdasarkan seksyen pindaan ini, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.
Semasa pelaksanaan sebatan dijalankan, walaupun ramai yang menunggu di luar dewan untuk menyaksikan hukuman dijalankan, namun mereka tidak dapat masuk kerana ia dihadkan kepada sejumlah atau sekelompok orang tertentu. Dengan menghadkannya kepada kelompok orang tertentu ini sebenarnya telah mengelakkan berlakunya penghinaan awam, merendahkan martabat dan melucutkan maruah individu sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu.
Kelompok orang yang dibenarkan menyaksikan inilah yang berperanan menyebarkan maklumat dengan meluas sebagai peringatan bukan sahaja untuk diri sendiri, juga kepada orang yang tidak dapat menyaksikannya dan orang yang tidak dapat hadir, supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Yang berada di luar dewan, tidak dapat masuk untuk menyaksikan, tetapi mereka maklum bahawa ada pesalah yang disebat di dalam sana. Penulis percaya bahawa ketakutan yang timbul pada mereka adalah lebih kuat, untuk mengambil peringatan serta menjauhinya (kesalahan). Akan tersebarlah bicara mengenainya apabila yang hadir (walaupun tidak dapat menyaksikan) menyampaikannya kepada yang tidak hadir.
Sepanjang masa tutup muka
Sebatan syariah samada dijalankan di dalam Penjara atau di luar penjara tidaklah kejam, bukannya tidak berperikemanusiaan dan tidaklah menjatuhkan maruah pesalah.
Buktinya, sebatan syariah tidak mencederakan pesalah sebagaimana sebatan rotan di mahkamah sivil. Alatan untuk sebatan syariah tiada ruas atau buku, panjangnya tidak lebih 1.22 meter dan tebal tidak lebih 1.25 cm.
Sebelum hukuman dilaksanakan, pesalah telah diperiksa oleh pegawai perubatan kerajaan dalam bilik khas, untuk memastikan pesalah itu dalam keadaan yang baik untuk disebat. Sebatan dilaksanakan oleh pegawai penjara dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala dan tidak melukakan kulit pesalah. Sebatan dengan cara diangkat, satu persatu bukan ditarik. Sebatan hanya dikenakan di bahagian badan, bukan kepada muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
Pesalah disebat dalam keadaan memakai pakaian khas yang menutup aurat. Malah pesalah sepanjang masa memakai pelitup muka (mask).
Sebatan di Mahkamah sivil boleh dikatakan kejam, boleh mencederakan dan hanya kepada pesalah lelaki, tetapi tidak ada pula pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia menuntut ia dihapuskan atau dimansuhkan.
Dalam kes di Terengganu ini, kesalahan pesalah adalah kesalahan berulang dan ia adalah kali ketiga. Sebelum ini, pada Julai 2023 tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara. Kemudian pada Februari 2024 sekali lagi tertuduh disabitkan atas kesalahan sama dan dihukum dengan empat sebatan dam turut dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Pesalah telah membuat pengakuan bersalah, telah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, dan semakan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah juga telah dijalankan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, dan telah memutuskan mengekalkan hukuman dan kaedah pelaksanaan sebatan tersebut. Maksudnya tertuduh sendiri telah bersedia menerima hukuman dengan kaedah yang ditetapkan tersebut. Jika tidak sudah tentu pesalah membuat rayuan terhadap hukuman sebatan itu.
Laksana dengan ikhlas
Penulis tidak nampak apakah hak asasi pesalah yang telah dicabuli. Jika benar ada hak asasi dicabuli, kenapa pejuang hak asasi ini tidak tampil dengan peguam mereka membuat rayuan bagi pihak pesalah dan memohon penggantungan pelaksanaan hukuman şemasa dalam tempoh 14 hari selepas penghakiman? Jika pun selepas tamat tempoh 14 hari, mereka masih boleh memohon pelanjutan masa.
Hak asasi tidak boleh dilihat dalam konteks individu semata-mata, tetapi juga perlu dilihat dalam konteks masyarakat keseluruhan. Hak asasi masyarakat keseluruhan adalah untuk diberikan pendidikan, pengajaran dan pencegahan supaya tidak akan melakukan kesalahan yang sama yang dilakukan oleh pesalah, secara berulang kali. Apabila bertembung antara hak asasi individu dan hak asasi ramai, hak siapakah yang perlu diutamakan?
Penggunaan logik atau hukum akal semata-mata tidak akan menuju kepada kebenaran seratus peratus kecuali ia dipandu dengan kehendak hukum wahyu dan hukum sunnah.
Sebagaimana kata-kata Saidina Ali RA yang bermaksud - “Kalaulah agama berdasarkan akal semata-mata, maka di bawah khuf (kasut) itu lebih utama disapu daripada atasnya.”
Sebat di khalayak langgar undang-undang persekutuan, syariah?
Ada pihak berhujah bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah melebihi bidang kuasanya yang diberikan oleh undang-undang persekutuan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Menurut mereka, Akta 355 hanya membenarkan rotan, bukan sebatan awam.
Suka dijelaskan bahawa Akta 355 hanya menghadkan takat hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah, ke atas orang-orang Islam, berkenaan perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan iaitu berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam.
Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta 355 itu, Dewan undangan Negeri Terengganu telah menggubal Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022) dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Terengganu 2001.
Prosedur sebatan dinyatakan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Dua seksyen yang memperuntukkan kaedah pelaksanaan hukuman sebatan di Terengganu ialah seksyen 125 and seksyen 126.
Dalam sub-seksyen 125 (3)(c) menyatakan bahawa “hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mama tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu.”
Seksyen ini jelas memberikan kuasa kepada Mahkamah syariah untuk menentukan mana-mana tempat bagi pelaksanaan hukuman sebatan samada sebatan di dalam penjara atau di luar penjara. Sebatan di luar penjara boleh jadi di Mahkamah syariah atau di masjid.
Pada 26 Disember 2024, Kerajaan Negeri Terengganu telah mewartakan tempat-tempat bagi pelaksanaan hukuman sebat mengikut Hukum Syarak di luar penjara berkuat kuasa mulai 20 November 2024, iaitu Masjid Abidin, Kuala Terengganu ; Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu ; Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu ; Masjid Sultan Ahmad, Kemaman; Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun; Masjid Nasiruddin Shah, Besut; Masjid Ajil, Hulu Terengganu; Masjid Kelulut, Marang dan Masjid Bandar Permaisuri, Setiu.
Maka, dakwaan sebatan di luar penjara yang dilaksanakan ini melanggar undang-undang persekutuan dan undang-undang syariah adalah tidak tepat.
Sebagai seorang pengamal undang-undang syariah lebih 25 tahun, sebagai ketua sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang non-partism, sebagai anak jati Negeri Terengganu dan sebagai seorang Islam, penulis melihat tiada salah dan tiada masalah dari sudut undang-undang dan hüküm syarak untuk Mahkamah syariah memerintahkan dan melaksanakan sebatan di luar penjara.
Terdapat hukum dalam Islam yang tidak diketahui hikmah dan falsafahnya dengan jelas, melainkan setelah ia dilakukan atau dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan dengan penuh keadilan mengikut petunjuk Ilahi dan Nabawi.
Mungkin ada kelemahan yang kelihatan namun ia boleh ditambah baik dari masa ke semasa. Langkah pelaksanaan hukuman ke atas pesalah syariah bukan terikat kepada hukuman denda, penjara dan sebatan sahaja.
Banyak solusi lain yang bercirikan syariah walaupun tidak menggunakan terminologi syariah. Contohnya Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
TUAN MUSA AWANG Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.