Lawatan Armada ke-83 Tentera Laut Republik Rakyat China di Pulau Pinang baru-baru ini bukanlah perkara yang boleh dianggap enteng. Ia sebenarnya suatu cerminan psikologi kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP.
Suatu bentuk psikologi yang cukup bermasalah jika ditinjau dari bingkai identiti kebangsaan Malaysia dan kesannya terhadap kepentingan strategik negara serta dinamika hubungan etnik di tanah air kita. Kemungkinan dalam perasaan dan fikiran mereka yang terlibat dalam mengatur lawatan tersebut tidak pernah wujud pertimbangan-pertimbangan ini. Yang wujud mungkin hanyalah bagaimana untuk “menjilat” Armada Tentera Laut China tersebut.
Apakah dengan “menjilat” Armada Tentera Laut Republik Rakyat China itu akan melupuskan tuntutan daripada negara Republik Rakyat China ke atas sembilan garis putus di Laut Cina Selatan?
Apakah Republik Rakyat China akan mengendurkan tuntutan mereka ke atas pulau-pulau di Gugusan Semarang Peninjau setelah menerima layanan yang begitu hebat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang? Apakah tidak akan ada lagi pencerobohan daripada Tentera Laut Republik Rakyat China ke atas Beting Patinggi Ali di Sarawak selepas kerajaan Pulau Pinang memberi sambutan yang luar biasa hangat kepada kapal-kapal yang berlabuh itu?
Atau apakah kemungkinan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang terdapat ejen-ejen Republik Rakyat China yang ingin mempengaruhi dasar-dasar negara supaya berpihak kepada negara China? Kecurigaan ini munasabah sahaja kerana pernah berlaku cubaan oleh penyokong kuat DAP, Superman Hew, untuk mempromosi dasar pro-China menerusi komik propaganda mengenai “One Belt One Road Initiative (OBOR)” yang disasarkan edarannya ke sekolah-sekolah di Malaysia. Mujurnya, mahkamah pada akhirnya mengharamkan komik propaganda pro-China itu daripada diedarkan ke sekolah-sekolah di Malaysia.
Namun nampaknya usaha untuk terus membawa agenda pro-China ke sekolah-sekolah tidak terpadam sepenuhnya. Sekali lagi ia muncul dengan lawatan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China yang turut melibatkan sebuah sekolah persendirian Cina.
Apa yang menakjubkan ialah dalam sebuah berita akhbar berbahasa Cina yang diterjemahkan, dilaporkan terdapat sebuah lagu yang berjudul “My Motherland” atau “Ibu Pertiwiku” telah dinyanyikan oleh kadet-kadet Tentera Laut China di hadapan murid-murid sekolah tersebut. Apa motifnya mempromosikan patriotisme Tanah Besar China di hadapan murid-murid yang sebahagian besarnya adalah dari etnik Cina, sememangnya menimbulkan kecurigaan dan tanda tanya.
Dasar luar Malaysia sejak sekian lama adalah jelas. Iaitu berbaik-baik dengan semua negara tanpa memihak kepada mana-mana paksi kuasa-kuasa besar dunia yang bersaing antara satu sama lain. Malaysia bukan boneka kepada mana-mana negara besar dunia. Sungguh pun sebuah negara kecil, namun Malaysia teguh mandiri, merdeka dan berdaulat tanpa perlu diheret ke arah keberpihakan baik kepada China mahu pun Amerika.
Jika ada sebarang cubaan untuk membangkitkan patriotisme warganegara Malaysia kepada mana-mana negara lain termasuklah kepada Tanah Besar China, ia merupakan suatu pengkhianatan. Malahan ia berpotensi bukan sahaja menggugat kestabilan dasar luar Malaysia yang selama ini neutral dan tidak berpihak tetapi juga turut memungkinkan terjadinya ketidakharmonian hubungan antara etnik sesama warga Malaysia.
Dinamika hubungan antara etnik di Malaysia pada umumnya tenang tetapi renggang dengan sesekali tegang khususnya apabila melibatkan isu etnik, agama, bahasa dan identiti kebangsaan Malaysia. Kerenggangan ini sebahagiannya adalah kerana struktur sosial masyarakat Malaysia yang terpisah-pisah. Dari sistem pendidikannya kepada parti-parti politiknya sehinggalah kepada dewan-dewan perniagaan dan institusi-institusi sosial serta konsumsi media serta budaya popularnya, masyarakat Malaysia cenderung disosialisasikan secara terpisah-pisah. Keterpisahan ini cenderung menyukarkan untuk terbentuknya suatu identiti kolektif yang bersifat kebangsaan yang diperkongsikan bersama.
Hal ini tercermin jelas daripada lawatan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China. Daripada video-video yang tersebar luas di media sosial, tidak ternampak sedikit pun unsur-unsur ke-Malaysiaan yang ditonjolkan daripada pertemuan antara wakil kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rombongan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China tersebut.
Selain daripada sosok seorang wanita bertudung bersama anggota pancaragam TLDM sebagai “token”, selebihnya unsur-unsur yang terlihat adalah ke-Cinaan dan ke-Chinaan. Daripada tulisan yang dipamerkan, budaya yang ditonjolkan, lagu yang dinyanyikan, tarian yang dipersembahkan dan bahasa yang digunakan, hampir keseluruhannya menggambarkan seolah-olah acara tersebut berlaku di China bukan di Malaysia.
Jika tujuan rombongan tersebut sebahagiannya adalah untuk program pertukaran budaya, maka tiada banyak pertukaran budaya yang berlaku. Malahan tarian yang dipersembahkan oleh murid-murid sekolah persendirian Cina dari Malaysia itu sendiri adalah sebuah tarian rakyat Yunnan dan gendang 24 musim yang kemungkinan besarnya daripada Tanah Besar China juga dan bukan Malaysia.
Justeru, ia tentunya menimbulkan suatu persoalan yang cukup penting dalam kehidupan bernegara iaitu apakah acara yang diuruskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu beridentitikan kebangsaan Malaysia atau kebangsaan China? Apakah kerajaan negeri Pulau Pinang dan sekolah persendirian Cina tersebut merasakan unsur-unsur kebudayaan Melayu dan bumiputera di Malaysia tidak layak untuk menjadi bahagian daripada program pertukaran budaya tersebut?
Kemungkinan besar pertimbangan-pertimbangan tersebut tidak terlintas langsung di dalam fikiran penganjur kerajaan negeri Pulau Pinang yang menguruskan lawatan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China itu. Sama seperti mana isu Festival Georgetown pada bulan Julai yang lepas di mana video promosi yang diunggah naik dilaporkan hanya menampilkan budaya Cina dan India tanpa budaya Melayu, manakala bahasa kebangsaan Malaysia pula dipinggirkan dan diganti dengan bahasa kebangsaan China dan United Kingdom.
Sehinggakan Festival Georgetown tersebut yang juga adalah sebahagian daripada acara kerajaan negeri Pulau Pinang didakwa sebagai cuba membunuh memori dan ingatan orang Melayu di Pulau Pinang apabila budaya dan bahasa mereka dihilangkan.
Nampaknya perkara yang kurang lebih sama, sekali lagi terjadi di dalam lawatan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China di Pulau Pinang itu. Hilang segala keterangkuman (inklusif) yang dijanjikan. Yang tertonjol adalah ke-Chinaan. Unsur-unsur ke-Melayuan kecuali dalam bentuk “token” dilenyapkan dari acara-acara yang dijalankan. Apakah ia juga adalah salah satu strategi yang cukup licik yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menafikan identiti kebangsaan Malaysia yang berteraskan ke-Melayuan dan ke-bumiputeraan?
Begitu juga dengan satu foto yang tersebar luas di media sosial, kelihatan murid-murid sekolah persendirian Cina tersebut bergambar bersama dengan pentadbir sekolah dan pegawai Armada Tentera Republik Rakyat China. Yang memusykilkan ialah murid-murid tersebut hanya diminta untuk memegang bendera Republik Rakyat China semata-mata tanpa satu pun Jalur Gemilang yang ternampak. Apakah motifnya untuk mempengaruhi murid-murid sekolah persendirian tersebut supaya pro-China? Apakah motifnya untuk menunjukkan bahawa Cina di Malaysia berkiblatkan Tanah Besar China? Apakah motifnya untuk memperlihatkan ke-Chinaan Pulau Pinang?
Apakah di sebalik semua “faux pas” budaya, politik, diplomatik dan hubungan etnik tersebut sebenarnya adalah bertujuan untuk menarik secara licik campur tangan Tanah Besar China ke dalam hal-ehwal domestik Malaysia?
Persoalan-persoalan ini wajar sahaja dipertanyakan dalam konteks masyarakat Malaysia yang hubungan etnik antara warganya di tingkat domestik adalah rumit dan kompleks.
Persoalan-persoalan ini munasabah sahaja diketengahkan dalam konteks masyarakat Malaysia yang masih lagi bergelut untuk menentukan identiti kebangsaan yang boleh diperkongsikan bersama.
Persoalan-persoalan ini perlu sahaja untuk dikemukakan dalam konteks Malaysia ketika ini sedang berhadapan dengan tuntutan bertindih dengan Republik Rakyat China di beberapa kawasan perairan di Laut Cina Selatan serta pulau-pulau di Gugusan Semarang Peninjau.
Malahan tidak sampai sebulan yang lalu kerajaan China telah pun menghantar satu nota bantahan kepada kedutaan besar Malaysia di Beijing supaya menghentikan semua aktiviti penerokaan minyak dan gas di Gugusan Beting Raja Jarum yang sememangnya berada di wilayah perairan milik kita sendiri.
Justeru, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam menguruskan lawatan Armada Tentera Laut Republik Rakyat China itu tentunya wajar sahaja dipersoalkan dan diperhalusi secara kritis.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP dalam hal ini nampaknya sekali lagi gagal untuk mempertimbangkan sensitiviti masyarakat Malaysia yang kompleks dan rumit khususnya yang melibatkan persoalan-persoalan tentang dasar luar Malaysia, kepentingan strategik dan keselamatan geopolitik, hubungan antara etnik di dalam negara dan persoalan identiti kebangsaan yang berteraskan ke-Malaysiaan bukan ke-Chinaan.
Akibat kurang pekanya kerajaan negeri Pulau Pinang, di media sosial sekarang ini isu tersebut telah pun tular dengan jutaan tontonan, ribuan perkongsian dan komen-komen yang cenderung menajamkan lagi kecurigaan dan ketidakpercayaan antara etnik di Malaysia.
Mungkin dek kerana terlalu lama DAP menguasai Pulau Pinang tanpa saingan, maka kerajaan dan masyarakat Cinanya hidup di dalam “gelembung ke-Chinaan” tanpa mereka menyedari bahawa Pulau Pinang sebenarnya adalah sebahagian daripada Malaysia yang majmuk, kompleks lagi rumit yang perlu diuruskan dengan terangkum, cermat, hati-hati dan penuh sensitiviti.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
RUHAN SHAHRIR seorang penyelidik akademik, juga pemerhati isu-isu semasa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.