Paling Popular
Terkini

Fikrah Islam merujuk kepada pemikiran dan ideologi yang bersumber dari agama Islam. Istilah “fikrah Islam” sering digunakan untuk merujuk kepada pemahaman Islam yang menyeluruh, termasuk pemahaman tentang ajaran agama, hukum syarak, prinsip-prinsip moral, nilai-nilai sosial serta prinsip-prinsip politik yang terkandung dalam Islam.

Dalam konteks politik, fikrah Islam merujuk kepada pemahaman dan aplikasi prinsip-prinsip politik yang berasaskan ajaran Islam. Ini termasuk prinsip-prinsip seperti keadilan sosial, kebebasan individu, keadilan ekonomi, kedaulatan undang-undang, serta nilai-nilai lain yang terdapat dalam Islam. Fikrah Islam dalam konteks politik juga melibatkan pemahaman tentang sistem politik yang ideal dalam Islam, serta peranannya dalam memastikan keadilan, kesejahteraan, dan kesaksamaan dalam masyarakat.

Pemikiran Anwar Ibrahim banyak dipengaruhi oleh pandangan cendekiawan-cendekiawan Islam. Pengaruh pemikiran Nurcholish Madjid (Cak Nur) terhadap Anwar Ibrahim sangat signifikan. Pertemuan Anwar Ibrahim saat remajanya berjumpa dengan Cak Nur adalah untuk membangunkan komuniti anak muda Islam di seluruh Asia Tenggara yang akhirnya berjaya mendirikan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT). Cak Nur memegang tampuk Ketua Umum manakala Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Agung.

Di Timur Tengah, Anwar Ibrahim bersahabat dengan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Seorang ulama berpengaruh dalam dunia Islam kontemporari Sifat zuhud dan wasatiyah yang diketengahkan olehnya dipandang tinggi oleh masyarakat hingga menjadi rujukan orang awam dalam fatwa-fatwanya. Hatta, penafsiran istilah kafir yang lewat ini tular juga pernah dihujahkan olehnya berlandaskan lunas zaman terkini yang mana istilah tersebut dilihat kurang sesuai kerana faktor nation-state (negara bangsa) dan dakwah seperti yang dituliskan dalam Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah.

Pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi ini menghasilkan seorang Anwar Ibrahim yang sangat toleransi dengan masyarakat bukan Islam di Malaysia dan menolak sama sekali ekstremisme dalam beragama.

Dasar Malaysia Madani

Malaysia Madani merujuk kepada konsep pembangunan Malaysia yang berpaksikan nilai-nilai madaniyyah atau ketamadunan. Malaysia Madani ini datangnya dari susur galur konsep Madani yang pernah diketengahkan oleh al-Farabi dalam kitab Al-Madina al-Fadila (The Virtuous City) dan Al-Siyasah al-Madaniyyah (Political Regime). Al-Farabi menggariskan prinsip-prinsip untuk membentuk masyarakat madani yang ideal, menerapkan unsur-unsur keadilan sosial, tadbir urus yang baik serta penerapan nilai-nilai Islam dalam sesebuah kerajaan.

Malaysia Madani yang diketengahkan oleh Anwar Ibrahim adalah ekonomi manusiawi yang berlandaskan konsep adil dan saksama khususnya dalam pemberian bantuan subsidi. Sebagai contoh, buat bayaran haji bagi jemaah haji diklasifikasikan mengikut tangga gaji dan struktur kelas sosial (B40, M40 dan T20).

B40 mendapat subsidi yang ditetapkan seperti biasa manakala M40 mendapat separuh dan T20 tidak menerima sebarang subsidi bayaran haji.

Tradisi mengimarahkan majlis ilmu sejak November 2022 masih diamalkan hingga kini. Anwar Ibrahim yang sangat cintai ilmu ukhrawi menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir mendengar syarahan cendekiawan-cendekiawan tersohor Islam. Dicatatkan semasa kehadiran Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma'ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz mencecah 18,000 umat Islam yang hadir di Masjid Putra ketika itu.

Bukan setakat menjabat jawatan sebagai Perdana Menteri, tradisi ini adalah tradisi lama yang sering dianjurkan oleh Anwar Ibrahim di kediamannya di Bukit Segambut.

Kelantangan menentang rejim zionis

Anwar Ibrahim lantang mengkritik Israel. Dari persidangan UNGA-78, lawatan ke Australia dan Jerman tidak lekang membawa isu-isu krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin. Oktober 2023 menyaksikan Kedutaan Besar Amerika Syarikat menghantar tiga notis Demarche (tata-tindak). Notis ini adalah komunikasi formal dalam dunia diplomatik yang mana ia menggambarkan peringatan, pemberitahuan atau permintaan untuk tindakan tertentu. Ironinya,

Amerika Syarikat menghantar notis ini berikutan Malaysia enggan mengiktiraf Hamas sebagai pengganas.

Lontaran oleh pembangkang yang mengaitkan Anwar Ibrahim sebagai liberal, pro-Israel, sekularisme dan segala bentuk tohmahan yang menyimpang dari akar Islam adalah tidak relevan. Bagaimana orang yang perjuangkan Islam sejak zaman mahasiswa hingga berjaya menjadi perdana menteri dikatakan sedemikian? Tidak pernah Islam dianaktirikan dalam persekutuan dan negeri-negeri sejak merdeka hingga kini kerana institusi Islam itu dijaga rapi oleh ketua negara (Yang di-Pertuan Agong) dan ketua-ketua negeri (Sultan).

Islam progresif tidak semestinya liberal dalam beragama. Tetapi, progresif melambangkan cara berfikir secara rasional dan sederhana mengikut konteks zaman yang sentiasa berubah-ubah. Ini bermaksud, Anwar Ibrahim menolak jumud dan radikalisme dalam beragama.


ALIF FAHMI ZAHARI ialah graduan Ijazah Sarjana Sains Politik di UKM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS