Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dengan hormatnya, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengemukakan memorandum ini yang mengandungi cadangan-cadangan untuk pembaharuan pendidikan tinggi di Malaysia.

Kami telah secara konsisten dan terbuka membincangkan isu-isu ini di media serta dengan pegawai-pegawai politik dan pentadbiran sepanjang tahun. Sesungguhnya, beberapa pembaharuan yang kami cadangkan di sini adalah sangat mendesak. Kami dan banyak pihak lain – baik dalam kerajaan, akademia, mahupun masyarakat sivil – yakin bahawa cadangan-cadangan yang digariskan adalah realistik dan boleh dicapai.

Gerak berpendapat untuk melaksanakan cadangan-cadangan berikut, apa yang diperlukan hanyalah kemahuan politik yang didukung oleh pentadbiran yang cekap. Kami berharap agar Kementerian Pendidikan Tinggi akan mempertimbang cadangan kami dengan serius kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan Madani.

Pertama, mengambil kira pelbagai kebimbangan dan kritikan yang berterusan mengenai kualiti pendidikan di Malaysia, Gerak dengan penuh hormat mencadangkan agar satu peruntukan bajet khas diperuntukkan untuk menjalankan kajian menyeluruh, telus dan bebas mengenai keadaan sektor pendidikan tinggi.

Langkah ini adalah permulaan penting ke arah pembaharuan pendidikan. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah ideal kerana ia akan melibatkan pemeriksaan kritikal terhadap keseluruhan spektrum pendidikan, daripada prasekolah hingga ke pengajian tinggi. Bagaimanapun, jika RCI tidak dapat dilaksanakan, sebarang kajian menyeluruh dan bebas juga memadai sebagai alternatif.

Kedua, pentadbiran universiti perlu distruktur semula.

Sudah terlalu lama universiti-universiti di Malaysia berada di bawah pengaruh Kementerian Pendidikan Tinggi. Pengurusan tertinggi di semua universiti awam kita jarang sekali berbicara secara bebas, apatah lagi secara analitik. Hubungan ini perlu diubah daripada sistem subordinasi politik yang sedia wujud kepada hubungan yang lebih menghormati dan berinteraksi secara kritikal.

Adalah penting untuk menghidupkan semula peranan Jawatankuasa Pencarian Nasional (National Search Committees) dan memperkasakan mereka bagi memastikan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Pengerusi dan Lembaga Pengarah yang baru.

Ketiga, pindaan dan pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan akademik.

Kecemerlangan pendidikan hnaya dapat dijamin apabila terdapat perlindungan asas terhadap kebebasan berfikir dan bersuara. Undang-undang seperti Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) perlu dipinda untuk mengecualikan semua institusi pengajian tinggi daripada kekuasaannya seperti yang telah dilakukan untuk badan-badan berkanun lain.

Hanya melalui pindaan Akta 605, kakitangan akademik dapat bebas untuk berpartisipasi dalam kehidupan akademia tanpa takut dikenakan tindakan tatatertib oleh perkhidmatan awam.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) wajar dimansuhkan. Akta ini memberi kesan negatif terhadap kecemerlangan akademik kerana ia menghalang pemikiran analitik dan bebas yang penting untuk menghasilkan pengetahuan baru dan kesarjanaan objektif. Kami sangat menggesa pihak kerajaan untuk menggantikannya dengan undang-undang yang mengatur fungsi autonomi universiti dengan cekap serta melindungi kebebasan pelajar dan kakitangan akademik.

Keempat, kaji semula kebergantungan universiti tempatan terhadap sistem penarafan universiti antarabangsa (Global University Rankings - GURs).

Sudah tiba masanya kerajaan Madani meningkatkan kesedaran tentang sifat tidak beretika dalam sistem GURs yang merupakan satu sistem eksploitatif bersifat kapitalis dalam dunia akademik.

Kita perlu meneroka kaedah penilaian alternatif yang bersifat kualitatif untuk menilai universiti kita, dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada metrik kuantitatif dalam menilai kualiti akademik dan ilmiah. Kuncinya adalah mencari keseimbangan yang sesuai.

Kelima, tangani dengan serius isu ketidakjujuran akademik di universiti, baik dalam kalangan pelajar mahupun kakitangan akademik.

Sebagai contoh, amalan paksaan pengarang bersama dalam artikel penyelidikan menyebabkan moral rendah dalam kalangan sesetengah kakitangan akademik dan ramai pelajar siswazah. Dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, contohnya, amalan ini melibatkan penyelia pelajar PHD meletakkan nama mereka pada artikel yang sepenuhnya ditulis oleh pelajar mereka.

Ini adalah sangat tidak beretika tetapi merupakan amalan yang meluas di universiti-universiti di Malaysia. Ia merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap pelajar.

Keenam, transformasikan budaya korporat yang telah menyusup ke dunia akademia. Hapuskan sistem catatan kehadiran. Universiti bukan kilang, dan tidak sepatutnya diuruskan seperti birokrasi perkhidmatan awam atau sebuah korporat besar.

Rasional di sebalik sistem catatan kehadiran adalah untuk membolehkan majikan memantau kehadiran pekerja. Sistem ini menyediakan rekod yang tidak dapat dipertikaikan mengenai waktu pekerja memulakan dan menamatkan hari kerja.

Amalan ini amat tidak sesuai dilaksanakan dalam profesion pensyarah kerana keterlibatan mereka dalam manjalankan penyelidikan memerlukan masa fleksibel. Tambahan lagi, amalan sedemikian bukan sahaja merendahkan martabat kakitangan akademik dan memberi gambaran bahawa mereka tidak boleh dipercayai.

Dalam organisasi seperti universiti, hubungan kebersamaan (collegiality) seharusnya dibentuk antara ahli-ahli akademik, serta antara pensyarah dan pelajar.

Syarat mencatat kehadiran menghalang proses pembentukan kepercayaan dan niat baik, terutama antara kakitangan akademik dan pentadbiran universiti. Menghapuskan sistem catatan kehadiran adalah langkah pertama yang sewajarnya untuk mengiktirafkan pensyarah sebagai cendekiawan berkelas dunia yang berpotensi.

Gerak bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkenaan untuk mencapai pembaharuan institusi yang dicadangkan ini.

Kami percaya bahawa dengan pembaharuan ini, universiti-universiti dan bidang kesarjanaan di Malaysia dapat menuntut kembali autonomi dan kebebasan mereka. Kedua-duanya prinsip yang penting dalam menghasilkan kecemerlangan akademik yang diperlukan untuk menjadi sebuah negara yang inklusif, bertamadun, pluralistik dan maju.


Tulisan ini merupakan memorandum yang dihantar oleh Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS