Saya ingin memuji Bayan Linnas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam mengeluarkan pandangan mengenai childfree by choice (pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai anak) menurut perspektif syarak.
Berbanding beberapa tulisan oleh ahli akademik bidang agama dalam isu ini, ulasan oleh Bayan Linnas ini dilihat menggunakan kaedah kesarjanaan yang baik dalam mengemukakan pandangan dengan nara sumber agama yang autoritatif.
Antara lain, ulasan ini turut mengingatkan kita bahawa Islam dan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah melarang perbuatan ‘azl atau ejakulasi di luar rahim bagi tujuan mengurangkan atau meniadakan risiko mendapatkan anak ketika senggama selagi mana persetujuan isteri diperolehi.
Ada dua elemen utama yang dibahaskan sarjana seputar ‘azl yang dibenarkan Islam iaitu (i) Islam menekankan kepuasan seksual yang setara antara isteri dan suami (penekanan kepada kepuasan isteri yang mungkin terganggu dek ‘azl).
Prinsip ini mungkin tidak pernah wujud dalam keadaan Arab Jahiliyyah yang melihat wanita sebagai objek seks dan bukan manusia utuh dengan fitrah kemahuan untuk kepuasan seksual sama seperti lelaki. Seterusnya, (ii) memperoleh anak adalah isu yang bukan remeh dan harus dibuat melalui perbincangan dan kesefahaman bersama antara suami dan isteri.
Kedua-dua elemen ini pula membuktikan bahawa Islam tekal menuntut umatnya supaya mencari jalan untuk mengecap kewajipan sesuatu perkahwinan yang memenuhi syarak iaitu untuk pasangan mencapai cinta dan kasih sayang atau mawaddah wa rahmah (Surah Ar Rum Ayat 21).
Walaubagaimapun, rata-rata ulasan mengenai isu childfree ini, termasuklah Bayyan Linnas, tidak menjelaskan kepentingan objektif utama perkahwinan mawaddah wa rahmah yang dengan jelas diseru oleh Al Quran dan hadis.
Kesimpulan oleh ulasan Bayyan Linnas : hukum adalah harus jika pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak memiliki anak atas sebab yang diambil kira syarak; makruh jika tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak; dan haram jika pilihan tersebut melibatkan pemandulan kekal dan pengguguran yang tidak dibenarkan oleh syarak. Dua keadaan taklifi yakni sunat dan wajib tidak disertakan dalam ulasan Bayyan Linnas.
Pemboleh ubah utama dalam semua hukum taklifi (harus, makruh, haram) ini adalah illah (penyebab kepada terbitnya sesuatu hukum).
Hakikatnya, kita tidak dapat menafikan bahawa illah dalam isu childfree by choice ini adalah bersifat individu di peringkat pasangan masing-masing.
Walaupun Bayyan Linnas dilihat cuba meninjau sejarah childfree by choice ini dari sudut pengalaman Eropah namun jika kita berjujur bukankah ‘azl itu sendiri merupakan situasi pasangan suami isteri yang memilih untuk tidak mahukan anak (childfree by choice) ini telah ada sejak zaman Nabi Muhammad?
Mengapa ada amnesia selektif atau kecenderungan untuk menafikan pengalaman seks dan seksualiti dan keterbukaan Islam dalam memahami realiti manusiawi yang rencam dan pelbagai ini dengan hanya melihat ke Barat?
Suami, isteri sepakat
Islam bahkan sudah lama terkedepan dalam isu ini sejak awal penurunannya lagi.
Dalam banyak hal, termasuklah untuk berkahwin dan memiliki anak, Islam luwes dan tidak pernah memaksa seseorang untuk sesuatu yang jelas bukan dalam kemahuan dan kemampuannya.
Bahkan dalam isu wajib seperti rukun Islam seperti solat, puasa dan haji pun terdapat banyak metode pelaksanaan yang meringankan (rukhsah) mengikut situasi tubuh dan kemampuan seseorang individu. Pelaksanaan ibadah dengan rukhsah ini pula dijanjikan pelaksanaan setimpal kerana sesungguhnya Allah Maha Penyayang (Ar-Rahman) dan Maha Menghargai (Al-Shakur).
Selain ‘azl, betapa rahmahnya Islam dalam mengangkat perihal hak tubuh ibu/isteri dan bapa/suami dalam isu anak disebut jelas dalam Surah Al-Baqarah Ayat 233:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). “
Di bahagian terakhir ayat 233 ini pula, terdapat pengiktirafan kepada suami dan isteri saling mencapai kesepakatan menguruskan anak berdasarkan kemampuan sendiri termasuklah dengan melibatkan orang luar yang diupah:
“Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
“Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
Ayat ini sahaja sudah begitu jelas menunjukkan bahawa Islam ini agama yang rahmah dan bukan agama yang marah. Sebelum menghakimi, Islam mengajar kita untuk memahami.
Dalam konteks mempunyai anak, Islam mengiktiraf beban yang ditanggung serta bernada memujuk dalam memahami agensi kemampuan umatnya yang pelbagai.
Dalam konteks childfree by choice yakni kesedaran tidak mampu mempunyai anak, Islam tidak menghalang pilihan bahkan menekankan bahawa sebarang keputusan dalam perhubungan, apatah lagi dalam isu kehendak dan kepuasan seksual dan memiliki anak, haruslah dibincang dan disepakati oleh suami dan isteri.
Setiap individu, terutamanya yang sudah berkahwin, tidak akan terlepas daripada pelbagai tanggungjawab ekonomi, politik dan sosial.
Tangungjawab berbeza-beza
Memilih untuk tidak mempunyai anak tidak bermaksud bahawa seseorang itu dapat hidup sebebasnya tanpa sebarang tanggungjawab. Itu adalah sesuatu yang amat mustahil.
Tanggungjawab dan beban setiap individu ini adalah berbeza-beza dan unik antara setiap satunya. Contohnya dengan masyarakat, kerjaya, institusi, rakan-rakan, keluarga, ibu bapa, atau apa-apa bentuk tanggungjawab yang lain.
Kesemua ini adalah tanggungjawab sedia ada yang besar bebannya yang kemungkinan tidak tertanggung jika ditambah dengan amanah menjaga anak.
Justeru, tuduhan bahawa orang yang memilih childfree adalah mahu "lari dari tanggungjawab" adalah sebatas andaian yang sengaja mahu meremehkan pergelutan hidup orang yang berbeza dengannya semata-mata. Tidak ada yang membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak itu dengan sewenang-wenangnya.
Rata-rata mempunyai sebab peribadi yang tersendiri yang juga berdasarkan kemampuan masing-masing.
Pasangan childfree by choice lazimnya bersepakat antara suami dan isteri dalam hal ini untuk memastikan maslahah diri dan pasangan untuk mengecap mawaddah wa rahmah, serta mengelakkan kezaliman.
Rogol dalam perkahwinan
Di saat begitu banyak kezaliman terhadap kanak-kanak dan antara pasangan, realiti suami dan isteri yang membuat sesuatu keputusan secara sedar akan kemampuan diri secara bersama hakikatnya begitu Islami.
Hal yang harus diperkatakan dengan lebih lanjut sebenarnya bagaimana individu yang tidak berdaya untuk mengandung dan membesarkan anak dipaksa oleh pasangannya untuk mendapatkan anak.
Keadaan ini boleh dikategorikan sebagai rogol dalam perkahwinan.
Malaysia masih belum mengiktiraf kategori rogol dalam perkahwinan walaupun menurut satu kajian oleh Universiti Sains Malaysia pada 2014, sekurang-kurangnya 11 peratus atau 100,000 orang wanita Malaysia pernah mempunyai pengalaman dirogol oleh suami mereka.
Seks dalam situasi ini bersifat zalim, dipaksa dan berat sebelah, tidak bertepatan dengan hak seksual tubuh yang dituntut Islam.
Oleh sebab itu, penting untuk nuansa kesedaran “tubuh saya adalah hak saya” atau “my body, my choice” dilihat dari konteks realiti masyarakat Muslim atau Malaysia sendiri.
Tubuh seseorang itu adalah haknya dan hak itu harus dipelihara dan dijaga. Tidak ada sesiapa, waima ibu dan bapa atau suami dan isteri, yang diberikan hak untuk dipaksakan pilihan ke atas tubuh seseorang yang lain.
Bapa cuti jaga bayi dipandang enteng
Anak yang lahir dalam hubungan yang dicemari keganasan rumah tangga dan ketidakhormatan hak pula lazimnya akan dizalimi dan tidak dapat membesar dalam lingkungan yang mawaddah wa rahmah.
Begitu juga dengan sekian banyak isu semasa yang dengan semberono menindas dan menzalimi hak kanak-kanak termasuklah kanak-kanak Muslim.
Misalnya, fenomena “ibu tunggal bersuami” (married single mother) dengan wanitalah yang membuat segala kerja domestik dan membesarkan anak seorang diri walaupun amanah membesarkan anak ini adalah tanggungjawab kedua-dua ibu dan bapa seperti dalam Al-Baqarah 233 tadi dan beberapa Ayat Al-Quran lain.
Fenomena ini sangat memberi impak bukan sahaja kepada ibu tersebut tetapi juga perkembangan anak-anak yang tidak terpenuhi haknya.
Kadangkala, fenomena ini dipaksakan ke atas bapa oleh sistem tatakelola masyarakat. Contohnya, adalah satu fenomena global apabila bapa yang mahu mengambil cuti atau meluangkan masa untuk sebarang tuntutan melibatkan urusan anak dipandang enteng.
Bahkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pernah membuka pekung kesendengan kefahamannya tentang isu ini dengan menyebut bahawa para ibu di pejabat kerajaan boleh balik awal untuk urusan anak tetapi gajinya akan dipotong sedikit.
Pertama, jika perdana menteri sendiri boleh berpendirian bahawa urusan jagaan anak ini perlu dipenalti, apatah lagi masyarakat terbanyak?
Kita malah bertanya lagi kenapa makin ramai yang memilih untuk tidak mempunyai anak melihatkan kekangan sistematik ini.
Kedua, pendiriannya itu memperkukuh fenomena “ibu tunggal bersuami” (married single mother) dan menidakkan fungsi bapa dalam tumbesaran anak yang jelas-jelas menzalimi hak kanak-kanak itu tadi.
Bagaimana pula dengan isu femisid apabila para isteri di Malaysia yang sewenang-wenangnya dikerasi dan dibunuh oleh para suami mereka?
Dalam tempoh kurang setahun ini, sudah berapa ramai wanita yang dibunuh oleh suami atau bakal suami seperti tiada nilainya nyawa wanita ini.
Ini termasuklah kes baru-baru di mana isteri diugut bunuh selama setahun, telah membuat laporan polis atas ugutan ini dan akhirnya dibunuh oleh suami sendiri, kebanyakan kes ini berlaku dalam kalangan pasangan Islam.
Lelaki adil dan bertaqwa
Di mana hujah syarak akan isu ini kerana jelas, masyarakat Islam kita seolah-olah telah kembali semula ke era Arab Jahiliyyah di mana nyawa perempuan adalah tidak berharga. Inilah yang Islam perangi sedari awal tetapi kini sengaja dilupakan sebab ramai berhujah bahawa perlindungan hak wanita dan isu kesetaraan sesama individu adalah isu atau pengaruh “hak asasi Barat”.
Tentu ada pengajaran besar di sebalik hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW cuma mempunyai anak-anak dengan Khadijah RA, seorang wanita hartawan yang stabil ekonominya. Dan anak-anak mereka yang hidup adalah anak-anak perempuannya di saat semesta kesedaran masyarakat Arab ketika itu membingkaikan anak perempuan sebagai bala yang wajar dibunuh.
Mengapa Nabi tidak mempunyai anak dengan isteri-isterinya yang lain seperti Aisyah RA? Ini jelas menunjukkan ibrah bahawa perkahwinan dengan atau tanpa anak adalah setara selagi mana pasangannya harmoni dan bahagia.
Ada hikmahnya Nabi SAW tidak menghalangi ‘azl. Islam datang membawa pembaharuan pemikiran dan amalan yang adil dan memberdaya perempuan dan kanak-kanak ketimbang kezaliman warisan ke atas mereka. Pada masa yang sama, pemberdayaan dan rahmah ini tidak mengurangkan status nilai para lelaki yang adil dan bertaqwa.
Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang berhak – seperti menghakimi dengan prejudis para pasangan yang memilih dan tahu mereka tidak mahu dan tidak mampu untuk menjadi ibu bapa atau memaksa seorang anak lahir ke dunia hanya semata-mata kita literalis yang hanya mahu menambah jumlah dan bukan kualiti umatnya.
NUR ADILLA calon Doktor Falsafah di Universiti Waseda. Mempunyai Ijazah Sarjana Pengajian Gender dari Universiti Malaya.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.