ULASAN | Laporan Utility Bidder, badan yang berpusat United Kingdom, yang diterbitkan beberapa hari lalu mendapati Malaysia termasuk dalam lima negara paling tercemar dengan plastik. Sampah sarap plastik juga turut menyumbang kepada pencemaran laut dunia.
Mungkin laporan ini memberikan tamparan hebat kepada usaha kerajaan Madani yang menekan soal ihsan kepada alam sekitar.
Menurut laporan Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kebangsaan (NECC) pada 2022, Malaysia mempunyai kadar penghasilan sisa pepejal domestik hampir 40,000 tan setiap hari dan trend ini dijangka semakin meningkat.
Laporan tersebut bukanlah dilakukan secara semberono dan pukal semata-mata. Saya sendiri pernah menyaksikan apa yang disifatkan sebagai lautan sampah sarap plastik, baik di daratan dan lautan.
Di pinggir pantai misalnya. Saya pernah berkunjung beberapa kali ke Pulau Pangkor, Perak. Suasana laut membiru terganggu sewaktu feri mula menghampiri jeti di pulau peranginan tersebut. Botol-botol plastik, kotak polisterin, sampah sarap dan sisa plastik yang terapung mula menyambut ketibaan para pelawat yang tiba. Tidak seperti yang dipaparkan dalam iklan pelancongan Malaysia di luar negara yang menjanjikan keindahan flora dan fauna.
Begitulah juga keadaannya di beberapa bandar pesisir yang lain di Malaysia seperti Kota Kinabalu dan Langkawi.
Selain itu, kawasan daratan juga tidak terkecuali daripada menerima arus sisa plastik ini. Setuju atau tidak, di jala nraya di seluruh tanah air dipenuhi sampah dan botol plastik. Tidaklah sukar untuk kita melihat perkara ini di jalan-jalan raya utama Malaysia. Baru-baru ini kecoh di Pahang apabila sampah plastik dikatakan telah ditinggalkan oleh perantau yang ke ingin pulang ke negeri di Pantai timur semenanjung.
Di kaki jalan, sisa-sisa plastik semakin banyak ditemui. Misalnya, setelah kerja-kerja pemotongan rumput dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan, kita dapat lihat sisa plastik di serata tempat. Fenomena yang mencacatkan ini bertambah buruk apabila berlakunya hujan lebat yang sejak akhir-akhir ini semakin kerap melanda.
Di manakah tahap mentaliti rakyat Malaysia hari ini? Di manakah sifat ihsan kepada alam? Silapnya di mana?
Mari kita renungi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Malik al-Asy’ari: “kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Nabi Muhammad turut mencela perbuatan membuang sampah merata-rata berdasarkan hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim, dalam sahihnya yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
“Hendaklah kamu menjauhi golongan yang tercela. Sahabat terus bertanyakan siapakah mereka yang dimaksudkan itu? Nabi SAW menjawab mereka itu ialah golongan yang mengotori jalanan dan penempatan manusia” (Sahih Muslim 859).
Seperti mundur ke belakang
Malaysia antara negara yang dipandang tinggi dalam kalangan negara-negara Islam. Di peringkat antarabangsa, negara kita menjadi contoh dan ikutan dalam pelbagai aspek. Di kala negara-negara sekeliling kita mula meningkatkan imejnya di mata dunia, Malaysia pun seperti mundur ke belakang dalam aspek kelestarian alam dan kebersihan, khususnya pengurusan sisa plastik.
Sepatutnya kita harus belajar dari negara-negara maju seperti Sweden mengenai cara mereka menukar sisa plastik dan bahan buangan lain kepada nilai kupon dan seumpamanya yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Kemudahan mesin kitar semula yang diletakkan di kawasan strategik membantu Sweden dalam mengurangkan kadar pembuangan sisa plastik. Sweden juga bijak memanfaatkan sisa plastik dengan menukarnya kepada sumber tenaga sekaligus dapat menampung keperluan tenaga negara itu.
Kempen 3R - Reduce, Reuse, Recycle - dilihat tidak cukup berkesan walaupun usaha ini telah dijalankan sejak lebih lima tahun yang lalu. Kementerian dan pihak berkuasa tempatan kelihatan seperti ‘mati akal’ untuk menyelesaikan isu ini.
Saya berpendapat antara faktor pendorong adalah seperti berikut:
Kurangnya penglibatan media untuk menyokong usaha ini.
Kurangnya fasiliti pembuangan sampah dan sisa plastik (kitar semula) di kawasan tumpuan.
Kurangnya penekanan nilai agama untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Tanpa kita sedari budaya kebersihan dan membuang sisa sampah di tempatnya adalah sebahagian dari ibadah.
Tiada nilai komersial yang boleh menggalakkan budaya kitar semula.
Sebagai kesimpulan, saya ingin mencadangkan:
Penglibatan besar-besaran media massa melalui iklan kesedaran
Pihak berkuasa wajar mempertimbangkan penambahan tempat membuang sampah di kawasan strategik
Peranan insitusi agama untuk membantu menggembleng usaha menanamkan kesedaran menjaga kebersihan sisa buangan. Pihak berkuasa agama Islam wajar menjadikan ruang khutbah Jumaat sebagai medium memupuk kesedaran. Demikian juga institusi agama-agama selain Islam mengikut pengamalan masing-masing.
Pemerintah wajar memikirkan konsep kitar semula dengan prinsip komersial seperti yang dilaksanakan di beberapa negara Eropah. Hal ini dapat menggalakkan penglibatan masyarakat untuk menjual bahan terbuang ini dan menukarnya dalam bentuk tunai dan seumpamanya.
Kesimpulannya, usaha memupuk kesedaran ini merupakan satu jihad yang wajar dipikul semua pihak.
Hal ini selaras dengan hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya daripada Abd Zarr al-Ghifari r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku diperlihatkan amalan umatku sama ada yang baik atau yang jahat, aku dapati antara kebaikan umatku ialah membuang rintangan (sampah) yang menghalang jalan” (Sahih Muslim 553).
Dengan perhatian antarabanga yang kini semakin meningkat, maka negara dan warganya harus bersedia jiwa dan raga bagi memarbatkan keperibadian masyarakatnya.
DR MOHD ZULFAHMI MOHAMAD adalah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.