Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan 'perjalanan politiknya' sejak lima tahun kebelakangan ini seperti menaiki 'roller-coaster' .
Muncul sebagai "orang muda paling berkuasa" ketika berusia 28 tahun, Khairy yang kini mencecah usia 32 tahun, sedang berhempas pulas untuk memenangi kerusi ketua Pemuda umno, yang beberapa tahun lalu, bukanlah satu perkara yang sukar baginya.
Dalam wawancara selama 90 minit - yang pertama dengan Malaysiakini - Khairy menceritakan mengapa ia terjadi demikian.
Dalam siri pertama daripada lima siri wawancara itu, Khairy mempertahankan bapa mertuanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - yang mesra dengan panggilan Pak Lah - dan mengenai Tingkat Empat - yang menempatkan sekumpulan anak muda yang menjadi pembantu kepada perdana menteri.
Ditanya bagaimanakah beliau menyampaikan idea-ideanya kepada kerajaan - sama ada terus menemui perdana menteri atau menggunakan Tingkat Empat, Khairy menjawab:
"Saya boleh melakukannya di Parlimen, tetapi seperti yang anda sendiri tahu, memang ada batasannya (seperti) di segi masa, tetapi anda boleh tulis mengenainya dan menghantar cadangan."
Ditanya sama beliau pernah membincangkan perkara-perkara seumpama itu ketika makan malam bersama perdana menteri, Khairy berkata, ia adalah perkara terakhir yang beliau akan cakap (contohnya), tentang insurans pengangguran dan pinjaman untuk merangsang SMEs (industri kecil dan sederhana).
Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah akan terus memegang jawatan perdana menteri sekurang-kurangnya setahun lalu, Khairy berkata beliau tidak merasakan begitu.
Beliau berkata, setahunya, perdana menteri telahpun membuat keputusan, dan telah bulat hatinya mengenai peralihan kuasa.
"Saya fikir kita semua harus menghormati keputusan itu. Membuat tanggapan sebaliknya, akan mewujudkan ketidak tentuan, tetapi setakat yang saya tahu, ianya (peralihan kuasa) akan berlaku," kata Khairy.
Dr Mahathir merupakan pengkritik paling lantang terhadap Khairy dan bapa mertuanya itu.
Ditanya pandangannya mengenai legasi Pak Lah, calon ketua Pemuda Umno itu berkata, Abdullah telah berusaha untuk membawa perubahan kepada arus perdana dan sebahagiannya sudahpun bermula.
"Ia mungkin bukan produk yang sudah siap - sama ada kita bercakap mengenai masyarakat yang lebih bebas, dari segi (kebebasan) bersuara atau sama ada kita bercakap tentang institusi, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman...," katanya.
Namun, tegas Khairy, semua itu adalah asas-asas kukuh untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.
"Dan suatu hari nanti, jika perubahan-perubahan ini berterusan, maka mereka akan menoleh ke belakang dan berkata di sinilah ianya bermula... dan beliau (Abdullah) memutuskan untuk mengorbankan (dirinya) demi parti," tambah Khairy.
Bagaimanapun, beliau yakin, bila mereka menoleh kembali kepada tempoh perubahan itu berlaku - walaupun ketika itu berlaku pergolakan - "kita akan dapat melihat bahawa ketika itulah bermulanya perubahan..."
Khairy berkata, terdapat banyak perkara yang dilakukan oleh Abdullah yang kurang diberi perhatian seperti usahanya meningkatkan prestasi syarikat berkaitan kerajaan sehingga menjadi kukuh.
Malah, kata beliau, hakikatnya bahawa negara mempunyai wang untuk berbelanja walaupun ketika berdepan dengan krisis ekonomi adalah kerana sikap jimat cermat yang diamalkan oleh Abdullah dalam pengurusan ekonomi.