Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

analisis kemaskini 8:45pm Walaupun kehadiran pemimpin kanan kerajaan BN semakin rancak beberapa hari menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu esok, jentera BN didakwa bergerak perlahan.

Menurut sumber-sumber yang dekat dengan BN, cara kerja jentera itu yang perlahan membayangkan PAS mempunyai kelebihan untuk mengatasi calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Cara kerja seumpama itu dikaitkan dengan kegagalan calon BN itu mendekati pengundi tetapi kelemahannya sedikit sebanyak dapat diatasi oleh kerja keras beberapa pemimpin lain, termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Sehingga saat-saat akhir, Wan Ahmad Farid terpaksa bertungkus-lumus menafikan beliau seorang yang mesra rakyat atau sombong.

kuala terengganu by election 160109 bn banner Kem BN juga didakwa berdepan krisis dalaman antara beberapa puak, termasuk kumpulan anti-Wan Ahmad Farid di peringkat Umno bahagian yang diketuainya, selain beliau dikaitkan dengan kumpulan promenantu perdana menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sewaktu berdepan pilihanraya kecil ini, Umno Terengganu juga masih mewarisi perseteruan antara kem Ahmad dengan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Dalam satu taklimat yang dihadiri ketua jentera BN Datuk Seri Najib Razak, parti itu dikatakan hanya mampu meraih beberapa ratus undi, lebih rendah daripada majoriti tipis 628 undi yang diperolehi oleh Datuk Razali Ismail, Mac tahun lepas.

Sementara PAS pula semakin yakin calonnya Mohd Abdul Wahid Endut boleh menang dengan "majoriti selesa" dalam pilihanraya kecil yang berlangsung mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Parti itu malah percaya pemilih-pemilih Melayu sudah sedia bersamanya untuk membawa Abdul Wahid ke Dewan Rakyat. Ia menunggu sokongan Cina untuk menamatkan penguasaan BN di parlimen ini.

Secara rasmi, penceramah-penceramah PAS menyebarkan persepsi bahawa parti itu sedang mendahului BN tetapi turut menggesa petugas-petugasnya agar tidak selesa dan sentiasa berhati-hati.

Seorang pemimpin kanan PAS negeri meramalkan kedudukan selesa PAS itu akan dapat diterjemahkan dalam bentuk undi kecuali pada malam ini berlaku "sesuatu yang luar biasa."

Manakala seorang lagi menjangkakan PAS boleh mengatasi BN sehingga 1,600 undi - hanya dewan penjumlahan undi di Stadium Negeri boleh menjadi saksi kebenaran semua telahan ini.

Kelazimannya kira-kira 80 peratus daripada 80,229 pemilih akan menentukan nasib calon-calon ini - walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap tercipta rekod 90 peratus pemilih membuang undi.

Kira-kira 80 peratus Melayu dan 11 peratus Cina akan menunaikan tanggungjawab di 38 daerah mengundi atau 143 saluran di seluruh kawasan parlimen ini.

Persaingan sengit ini dapat dilihat dengan rancaknya poster dan bendera di tepi-tepi jalan utama di seluruh bandar raya ini.

kuala terengganu by election dispute over poster 140109 01 Ia diindahkan lagi dengan bendera besar dan papan iklan BN dan PAS dengan ungkapan menarik masing-masing, khususnya seloka rasuah Datuk Nik Aziz Nik Mat:

"Nak Beri Salah, Tak Beri Kalah, Umno Jadi Serba-Salah, Jom Pakat Pangkah PAS."

Tidak cukup dengan kempen dari rumah ke rumah dan ceramah-ceramah kelompok, BN yang mempunyai akses meluas di media arus perdana turut menyebarkan mesej SMS kepada para pengundi.

Berbeza daripada pilihanraya umum lalu, pembangkang dalam pilihanraya kecil ini tidak memanfaatkan teknologi SMS berbanding jentera BN.

Dalam pilihanraya Mac tahun lepas, sentuhan peribadi ini berjaya meraih sokongan pengundi, termasuk mendorong mereka memberikan sumbangan wang untuk kerja-kerja kempen.

Kali ini, beberapa hari lalu, hanya sekali jentera PAS menghubungi pemilih untuk mengingatkan mereka tempat mengundi mereka.

Sementara BN pula memanfaatkan teknologi ini melalui penyebaran pangkalan mesej yang digelar "Mynews".

Hari ini sahaja dua mesej sedemikian dihantar, semuanya diterima Malaysiakini - termasuk seloka yang didakwa warisan bekas ahli parlimennya Razali.

"Beri aku sekeping roti, beri aku secawan kopi, beri aku segores undi, demi BN kekal abadi," mesej SMS yang dikirim petang ini dipetik.

Sebelumnya, Mynews mengekalkan slogan berloghat tempatan "Nak menda lagi, BN molek dah." (Nak apa lagi, BN sudah cantik).

Strategi mempopularkan slogan menggunakan loghat tempatan ini "Acu Try Ubah Sekali" pernah digunakan oleh PAS pada 1999 secara meluas seperti BN saat ini mengulang-ulangkan slogan PAS "parti keluk-kelek" atau tanpa pendirian.

PAS hari ini masih menggunakan strategi konvensional, termasuk menyebarkan secara meluas risalah yang mendakwa Najib pernah berbohong sewaktu berjanji di Permatang Pauh tahun lalu.

kuala terengganu by election nomination day 060109 candidates 2 Risalah dua halaman A4 itu memuatkan surat janji timbalan perdana menteri untuk memberikan peruntukan RM100,000 kepada masjid dan RM30,000 kepada surau.

Isu "Najib Bohong" yang dibangkitkan risalah itu di saat-saat akhir terpaksa dinafikan oleh Najib dan BN melalui stesen-stesen televisyen utama dalam berita jam 8 malam ini.

Walaupun kedua-dua parti besar ini ghairah mencapai kemenangan, suasana berkempen umumnya tenang dan damai - memberi tanggapan kepada pemerhati dari luar dan penduduk tempatan bahawa seolah-olah BN dan PAS "tidak mahu menang."

Beberapa pemimpin Angkatan Muda PKR dan petugas Pakatan Rakyat dari Kuala Lumpur yang ditemui Malaysiakini dalam pilihanraya ini menyifatkan Kuala Terengganu sebagai "anak tiri" jika dibandingkan Permatang Pauh, Ogos lalu, yang digelar "ibu" segala pilihanraya kecil.

Pengundi-pengundi pula tidak menunjukkan keghairahan menyokong calon-calon tertentu. Tinjauan lebih seminggu di kalangan penduduk di sini menunjukkan sama ada mereka pendukung tegar BN dan PAS, atau tidak memihak.

Mereka yang dianggap "atas pagar" ini pula enggan menjawab dengan serius beberapa persoalan yang diajukan media.

Berbeza sewaktu pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan BN tumbang mengejut di Terengganu, ramai pengundi bercakap sesama sendiri dan berani mengisytiharkan pendirian masing-masing beberapa hari menjelang pengundian.

Dengan suasana tenang dan perlahan ini, apakah ia akan memihak kepada PAS seperti mereka dakwa, atau ketenangan awal menjelang ribut besar yang menerbangkan BN dari bandaraya ini?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS