Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi calon PAS, rayu PRM
Diterbitkan:  Jan 9, 2009 7:05 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Parti Rakyat Malaysia (PRM) merayu kepada pengundi supaya menyokong calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut, dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

koh swe yong Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agungny, Koh Swe Yong berkata kemenangan calon PAS akan memberi "isyarat" kuat kepada kerajaan pusat BN dan parti komponennya "bahawa rakyat menentang dasar-dasar yang semata-mata membela kepentingan pemerintah elit BN".

Katanya, pendeklasifikasian kontrak konsesi lebuhraya baru-baru ini menunjukkan pihak syarikat terbabit dijamin keuntungan besar.

Sebagai contohnya, tambahnya, apabila syarikat konsesi lebuhraya tidak dibenarkan menaikkan kadar tol, kerajaan BN mesti membayar gantirugi kepada mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Koh mendakwa kerajaan BN tidak menghiraukan bebanan dan tekanan yang sedang dihadapi dan dipikul rakyat jelata sewaktu kenaikan harga minyak.

Beliau juga mendakwa, kerajaan BN tidak sanggup menggunakan keuntungan yang diperoleh dari minyak pengeluaran negara ini sebagai subsidi untuk membendung kenaikan harga minyak.

Bantah PPSMI

Sebaliknya, dakwa Koh, kerajaan telah membiarkan harga petrol naik dengan mendadak dan dengan kadar yang sangat tinggi.

"Kesan buruknya, harga barang-barang terus melambung naik, tanggungan kenaikan minyak mentah dipindah supaya dipikul oleh orang ramai dan pengguna.

"Akan tetapi, apabila harga minyak turun, harga barang-barang yang telah itu tidak turun," tambah Koh

Koh juga mempertikaikan niat kerajaan BN untuk meneruskan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun mendapat bantahan demi bantahan, tetapi kerajaan tetap mahu meneruskannya.

Manakala royalti minyak di Terengganu pula, dakwanya, digunakan untuk menganjur Piala Monsun peringkat antarabangsa.

Kegiatan tersebut, tambahnya, hanya memberi faedah kepada segelintir kroni pemerintahan elit, dan tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS