Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketiga-tiga calon ketua Pemuda Umno kini sedang sibuk berkempen - bukan untuk jawatan ketua Pemuda - tetapi untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang.

khairy jamaluddin Seorang pembantu Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin memberitahu Malaysiakini bahawa ahli Parlimen Rembau kini berada di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon.

Menurutnya, Khairy akan berada di sana sepanjang kempen pilihanraya kecil menggerakkan jentera Pemuda bagi memastikan kemenangan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Khairy harus berada di sana sepanjang kempen piliharaya kerana beliau antara tunggak jentera Pemuda dan sesuai dengan kapasitinya sebagai orang nombor dua dalam pergerakan itu," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, kempen Khairy untuk merebut jawatan ketua Pemuda ditangguhkan sementara sehingga selesai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Farid akan berdepan dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan seorang calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Bertumpu ke KT

mukhriz mahathir Sementara itu, seorang lagi calon ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir (foto) berada di Terengganu semalam.

Pegawai khasnya, Anas Hafiz Mustaffa berkata, hari ini, ahli Parlimen Jerlun itu berada di kawasan Parlimennya untuk menghadiri satu program.

Bagaimanapun, kata beliau, Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno, akan kembali semula ke Terengganu Sabtu ini.

Anas juga berkata, kempen untuk ketua Pemuda ditangguhkan, untuk memberi fokus kepada kempen pilihanraya Parlimen di Kuala Terengganu.

"Ia adalah arahan Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kuala Terengganu adalah maruah kita. Ia satu cabaran besar untuk kita memastikan sama ada rakyat masih menerima Umno (atau tidak)," katanya.

Kempen rumah ke rumah

Sehubungan itu, kata Anas, Mukhriz ditugaskan untuk berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersama dengan petugas dari Johor dan bahagian Marang.

khir toyo smooth Manakala, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula turut menangguhkan kempen bagi jawatan ketua Pemuda dan turut berada di Kuala Terengganu.

"Kempen kepada perwakilan akan bersambung selepas pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kerana pilihanraya ini penting.

"Kuala Terengganu adalah maruah Umno," kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus ketika dihubungi Malaysiakini .

Abdul Syukur menjelaskan, Dr Mohd Khir berkempen rumah ke rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang untuk memastikan kemenangan calon BN 17 Januari ini.

Selepas selesai mesyuarat bahagian 9 November lalu, Mukhriz memperolehi 74 pencalonan untuk jawatan ketua Pemuda, diikuti Dr Mohd Khir (62) dan Khairy mendapat 53 pencalonan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS