dikemaskini Calon bebas dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Azharudin Mamat @ Adam menafikan beliau bertanding gara-gara kecewa bapanya dipinggirkan oleh pemimpin Umno negeri.
"Saya baik dengan pemimpin Umno, tidak berbangkit soal hubungan ayah dengan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.
"Cuma ada orang yang takut saya memecahkan undi calon Umno.
"Saya tidak mahu bercakap lagi mengenai perkara itu (hubungan ayah dengan Umno).
"(Tetapi) saya tidak pernah menjadi ahli Umno atau PAS, namun ramai orang Umno setuju saya bertanding sebagai calon bebas," katanya ketika temubual dengan Malaysiakini malam tadi.
Azharudin berkata demikian ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau bertanding sebagai calon bebas kerana tidak berpuas hati layanan pemimpin Umno terhadap bapanya Datuk Adam Taib.
Bapanya pernah bertugas sebagai setiausaha politik bekas menteri besar Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad.
Azharudin menambah, keluarganya berdiri teguh di belakangnya walaupun tidak turut membantu kempennya.
"Mula-mula keluarga saya merasa bimbang dengan hasrat saya bertanding tetapi kini sudah menyokong walaupun tidak membantu berkempen.
"Seorang adik saya menjadi pencadang borang pencalonan saya," katanya.
Tambahnya, beliau mengambil keputusan bertanding dalam pilihanraya kecil ini setelah berbincang dengan beberapa ustaz.
"Mereka kata, saya harus bertanding, jadi saya mengambil keputusan bertanding," katanya lagi.
"Niat saya ialah hendak membantu orang miskin kerana ramai lagi orang sini (Kuala Terengganu) yang masih miskin.
"Sekarang inipun, saya tolong bayar sewa rumah janda-janda di sini, bukan semua (dapat dibantu) tetapi ikut kemampuan saya.
"Kalau menang, saya mahu membantu membaiki rumah orang miskin. Saya ada sebuah lori kecil dan tiga orang pekerja, jadi mudah saya bantu mereka."
Ketika ditanya peluangnya untuk menembusi sokongan padu calon-calon BN dan PAS, Azharudin berkata, ketika ini peluangnya "50 peratus".
Tambahnya, mungkin minggu depan boleh melihat peluangnya yang sebenar dalam pilihanraya kecil ini.
"Saya juga tidak akan menarik diri kerana kalah menang tidak menjadi soal.
"Menang tak apa, kalah tak apa," tambahnya.