Polis menolak sebarang unsur-unsur jenayah dalam kematian tokoh Seniman Negara Datuk Syed Alwi Syed Hassan di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang dekat Sungai Buloh semalam.
Bedah siasat menunjukkan kecederaan yang dialaminya mungkin dialaminya ketika Allahyaram terjatuh, demikian menurut the Star.
Syed Alwi, 78, ditemui di bahagian dapur rumah banglo berkenaan oleh anaknya, Norsham, 27, yang baru pulang ke rumah, kira-kira jam 8.30 malam semalam.
Menurut polis, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 48 jam.
Siasatan awal juga mendapati ada kesan calar dan lebam di badan mangsa, yang tinggal seorang diri sejak Jumaat.
Di samping itu, menurut polis, tiada kesan pecah masuk di banglo milik Allahyarham tetapi terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubat-ubatan di sekitarnya.
Syed Alwi, anak kelahiran Taiping, Perak mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.
Menurut Bernama, beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.
Tokoh terkemuka
Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.
Beliau adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isu-isu berhubung bangsa Melayu.
Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari.
Antara karyanya yang memenangi pelbagai hadiah ialah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994).
Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.
Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.
Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara.
