Setelah tujuh tahun bersabar, pembeli akhirnya melaporkan kes rumah tidak siap yang dibangunkan Majlis Perbandaran Kuala Pilah (MPKP) dan sebuah syarikat swasta kepada polis.
Menurut pengerusi badan bertindak pembeli, Salehuddin Abdullah, 45 pembeli semalam telah mengadukan perkara itu di balai polis Melang, Kuala Pilah yang berdekatan dengan projek tersebut.
Projek perumahan Perpaduan Height di Semaling, tidak berapa jauh dari pekan Kuala Pilah, yang terbengkalai sejak 2001 melibatkan 231 pembeli.
Dalam satu kenyataan, Salehuddin berkata, mereka rasa tertipu dan perlu tampil ke depan setelah beberapa usaha mendapatkan rumah mereka sebelum ini tidak berhasil.
"Semenjak terbengkalai, sudah banyak ikhtiar dilakukan oleh pembeli bagi menarik perhatian kerajaan membantu menyelesaikan kemelut ini. Namun semuanya menemui jalan buntu.
"Pertemuan juga telah diatur dengan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah (Adnan Abu Hassan), exco perumahan dan kerajaan tempatan negeri, pihak majlis daerah sebagai rakan kongsi pemaju; semuanya tidak memberikan suatu jawapan konkrit terhadap permasalahan ini," katanya hari ini.
Projek yang dimulakan pada 1996 itu sepatutnya siap sepenuhnya tujuh tahun lepas.
Menurut Salehuddin, perkara ini telah diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Februari lalu atas alasan "ada unsur-unsur penyelewengan".
Peguam mereka Tang Jay Son yang turut hadir berkata, terdapat beberapa keraguan timbul dalam pengurusan pembelian rumah tersebut.
Tang mempersoalkan mengapa wujud aliran keluar masuk wang bank kepada pemaju setelah kerajaan mengiystiharkan Projek tersebut terbengkalai.
Bank juga didakwa membuat bayaran 80 peratus kepada pemaju sedangkan prestasi kerja lebih rendah daripada tahap itu.
Seorang lagi pembeli, Lee Cheng Mei berkata, beliau berasa dukacita kerana "bukan sedikit wang yang telah dikeluarkan" bagi "membayar benda yang tiada".
Beliau berharap polis menyiasat laporan itu dengan adil kerana kebanyakan pembeli terdiri golongan tua dan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan kediaman untuk hari tua.
Projek terbabit melibatkan 169 rumah kos sederhana setingkat, 55 rumah kos rendah dua tingkat dan tujuh rumah kedai yang berharga antara RM35,000 hingga RM65,000.