kemaskini 7:31pm Umno Gombak akan mengadakan "bantahan terbuka" jika Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meluluskan permohonan melanjutkan tempoh menegakkan imej besar Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika MPS meluluskan, saya akan buat bantahan terbuka," kata ketua bahagian Abdul Rahim Kamaruddin.
Ditanya "bantahan terbuka" yang dimaksudkannya, beliau berkata:
"Mungkin hantar (mesej) SMS pada yang dipertua (MPS) untuk menunjukkan rasa tidak selesa jika MPS memberikan kelulusan (lanjutan)."
Semalam pengelola projek imej besar penasihat PKR itu R Viriya berharap imej setinggi 12.2 meter tersebut yang didirikan di satu simpang dekat Wisma Keringat, Batu Caves dapat disambung permit untuk tempoh kira-kira dua bulan lagi sehingga sambutan hari natal dan tahun baru.
Tambahnya, beliau berhasrat membuat permohonan baru untuk melanjutkan tempoh permit dalam masa terdekat.
Ia mula ditegakkan pada 28 September lalu dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan itu bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri awal bulan ini dan Deepavali kelmarin.
Kelulusan itu berakhir 4 November ini.
Bagaimanapun, tambah Viriya, jika MPS tidak meluluskannya, beliau bersedia meruntuhkannya.
Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Abdul Rahim berkata, imej besar itu tidak sepatutnya diluluskan sejak awal lagi kerana mengganggu kelancaran pemanduan di tempat itu.
"Saiznya besar, dekat dengan lampu trafik, ia patut dirobohkan. Saya dukacita dengan tindakan majlis memberikan kelulusan.
"Dalam sejarah (penguasaan) Umno, kita tidak pernah minta (lesen penegakan imej besar), cukup dengan papan iklan. Itu pun untuk tujuan pelancongan," katanya.
Beliau menambah, masyarakat sekitar kawasan itu juga mahu gambar besar itu diturunkan.
"Mereka banyak bercakap (hasrat itu)," katanya.
Wakil rakyat PKR bagi kawasan Batu Caves, Amiruddin Shari yang merasmikan penegakannya bulan lalu berkata, tempoh yang diberikan sudah cukup dan tujuan imej itu "bukan untuk kekal".
"Kita akan turunkan. Tidak ada keutamaan untuk mengekalkannya. Ia tidak memberi banyak manfaat," katanya kepada Malaysiakini .
Tambahnya, niat awal penegakan itu untuk menyambut Aidil Fitri dan Deepavali sudah tercapai.
"Apapun, saya akan bincang dengan Viriya dulu," katanya, yang juga naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Amiruddin bagaimanapun menafikan tidak berminat melanjutkan tempoh replika itu untuk mengelak kontroversi berpanjangan.
Wakil rakyat PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib pula berkata, hasrat itu "bagus dan perlu dipertahankan."
"Tidak ada apa hal. Daripada aspek politiknya, ia berkesan. Ia menunjukkan pengaruh Anwar. Tidak ada masalah, bagus, berkesan," katanya, yang juga ketua penerangan PAS Selangor.
Sambil bergurau, beliau menambah: "Kalau boleh, biar besar lagi."
Saari menegaskan, penegakan imej itu tidak menjadi masalah daripada aspek agama dan hanya menjadi isu kerana tidak dibuat di papan iklan.
"Kalau (dilukis) di papan iklan, pasti tidak ada bantahan," katanya.
Imej itu mula mencetuskan kontroversi awal bulan ini apabila mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan mendakwa ia "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."
Amiruddin awal bulan ini menjelaskan "tidak pernah wujud aktiviti keberhalaan di tempat itu".
Viriya sebelumnya pernah berkata, penduduk setempat bersedia untuk merobohkannya jika kontroversi berlarutan berhubung penegakan replika gergasi itu.
Pemuda PAS Selangor bagaimanapun menafikan imej gergasi itu termasuk dalam kategori patung yang diharamkan dalam ajaran Islam.
Replika ini yang berharga RM5,000 dibina menggunakan duit sumbangan masyarakat setempat.