Calon naib presiden, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegur pemimpin Umno yang mahukan pemilihan parti dipercepatkan dari Mac tahun depan, kepada Disember ini.
Antara pemimpin yang dilaporkan mahu pemilihan tersebut dipercepatkan ialah calon timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil menyifatkan golongan tersebut sebagai "orang yang tidak tetap hati", Syed Hamid berkata, pemilihan parti ditangguhkan kerana wujudkan keadaan tertentu, iaitu peralihan kuasa.
Syed Hamid yang juga menteri dalam negeri, memberitahu demikian dalam satu temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Beliau juga berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya merugut bahawa tempoh berkempen yang panjang - lima bulan - akan membebankan mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan.
Menurut Syed Hamid yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mereka boleh menggilir-gilirkan antara berkempen dan melaksanakan tugas di kementerian masing-masing.
"Anda tidak boleh bersungut tentang kerja anda... jika anda memberi lebih kepentingan kepada parti, maka anda tidak seharusnya berada dalam kerajaan.
"Keutamaan saya selama ini (ialah), jika anda tidak boleh mengimbangi (tugas anda), maka anda perlu memilih salah satu daripadanya," katanya.
Pemilihan Umno, yang pada asalnya dijadual berlangsung Disember ini, telah ditangguhkan hingga Mac tahun depan untuk memberi masa kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Dalam perancangan asalnya, Abdullah hanya dijadual bersara pada pertengahan tahun 2010 tetapi ekoran tekanan dari dalam Umno, beliau telah mempercepatkan tarikh peralihan kuasa itu, dan tarikh baru ditetapkan bagi pemilihan parti.
"Saya tahu ramai merungut mengenai tempoh (berkempen selama lima bulan) kerana ia terlalu lama tetapi ia bukannya luar biasa - ini adalah satu peralihan kuasa," kata Syed Hamid.
MT telah putuskan
Katanya, semua pemimpin Umno mesti berpegang kepada keputusan MT untuk mengadakan pemilihan parti pada Mac tahun depan.
"Ia adalah keputusan perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Ia telah dibincangkan dan dalam kes ini oleh anggota MT. Pada mulanya, ia dibincangkan oleh jawatankuasa pengurusan, dan kemudian mereka bentangkan kepada kita dan kita membincangkannya," katanya.
Tegasnya, keputusan untuk mengadakan pemilihan parti Mac depan pada mulanya dibuat oleh jawatankuasa pengurusan parti, yang dipengerusikan oleh (Datuk Seri) Najib. Antara anggota (jawatankuasa tersebut) adalah (Tan Sri) Muhyiddin, semua naib presiden dan ketua penerangan parti.
"Malah, Pak Lah pun tidak menganggotai (jawatankuasa tersebut).
Ia tidak dibincangkan dalam jawatankuasa politik yang Pak lah jadi pengerusinya, tetapi ia dibincangkan dalam jawatankuasa pengurusan...," katanya.
Mengenai pertandingan jawatan naib presiden, ini adalah kali kedua Syed Hamid, 63, menawarkan diri. Kali pertama ialah pada tahun 2000 tetapi tidak berjaya.
Sehingga ini, beliau mendapat 12 pencalonan dan memerlukan lapan pencalonan lagi untuk layak bertanding. Calon naib presiden memerlukan kelayakan minima 20 pencalonan.
Syed Hamid nampak yakin boleh memperolehi pencalonan yang mencukupi hujung minggu.
Beliau berharap ahli-ahli Umno memberi penekanan terhadap gabungan orang lama dan orang baru dalam kepimpinan parti itu.
"JIka mereka memilih, contohnya, atas asas prestasi dan pengalaman, maka saya rasa saya ada peluang yang baik, tetapi jika mereka didorong oleh sebab-sebab yang lain, maka saya tidak fikir saya ada peluang," katanya.
Q&A: Umno needs electoral reform
Esok: Syed Hamid bercakap tentang ISA dan Hindraf