Kesemua anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 - yang dibebaskan daripada tawanan lanun di Teluk Aden dekat Somalia - selamat sampai di Lapangan Terbang Subang kira-kira pukul 4 pagi.
Menurut Bernama , syarikat perkapalan terbabit MISC menyatakan kesemua anak kapal tersebut berada dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan buat sementara di Hotel Sheraton, Subang bersama anggota keluarga mereka.
Kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal - 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina - dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos.
Seorang anak kapal warga Filipina itu terbunuh akibat terkena sebutir peluru yang tersasar.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.
Pada 27 Sept lalu, kapal MT Melati 5 dibebaskan setelah MISC membayar sejumlah wang tebusan manakala 29 Sept lalu kapal MT Melati Bunga 2 pula dibebaskan.