Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu, Oktober depan kerana tidak cukup pencalonan.

Beliau hanya mendapat 17 pencalonan, kurang tujuh daripada yang diperlukan.

Semua 116 cawangan telah mengadakan mesyuarat tetapi empat cawangan diarahkan bermesyuarat semula kerana masalah teknikal, sementara mesyuarat 20 lagi mesyuarat yang memilih Zaid dibatalkan.

Berikutan itu, jawatan ketua Umno bahagian Kota Baru dimenangi oleh Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Fatmi memangku jawatan ketua bahagian itu apabila Zaid digantung keahlian Umno selama tiga tahun kerana politik wang.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Che Mansor Adabi Che Hassan berkata, kegagalan Zaid itu kerana "ahli mahukan perubahan kepada pucuk pimpinan bahagian".

"Ia mungkin ada kaitan dengan politik Umno yang sedang berlaku sekarang," katanya.

Zaid bagaimanapun mendakwa beliau disabotaj apabila cawangan-cawangan tersebut dibatalkan.

Penyokong Zaid, Mohd Hasnan Che Hussin juga gagal mendapat pencalonan mencukupi untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian.

Berikutan itu, orang Mohd Fatmi iaitu Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusof menang tanpa bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun, bagi jawatan-jawatan lain akan menyaksikan saingan antara kumpulan Zaid dengan Mohd Fatmi.

Untuk jawatan naib ketua, Datuk Shahrin Zahari, penyokong Fatmi akan berdepan dengan Kamaruzaman Hussin daripada kumpulan Zaid.

Manakala, bagi jawatan ketua wanita penyandang Nik Azizah Nik Yahya akan berdepan dengan Wan Norjan Ismail.

Nik Azizah merupakan dari kumpulan Fatmi manakala Wan Norjan orang Zaid.

Bagi jawatan ketua Pemuda, penyandang Rosmadi Omar yang juga penyokong Fatmi berentap dengan Mohammed Iznan Mohammed dari kumpulan Zaid.

Manakala untuk jawatan ketua Puteri calon dari kumpulan Fatmi, Maznah Yaakob berdepan dengan calon Zaid, Norhaslinda Mat Hussin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS