Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdebatan isu panas kenaikan harga minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek merupakan langkah awal membudayakan hujah politik "profesional dan matang", kata penganjurnya Agendadaily.com .

Perdebatan agung dua tokoh ini, yang dijadual minggu depan, meneruskan tradisi pertemuan ahli-ahli politik utama negara, antaranya perbahasan isu Palestin pada 2002 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Noor, masing-masing perdana menteri dan ketua pembangkang.

Akhbar internet berbahasa Melayu itu bercadang meneruskan lagi program seumpama ini membabitkan lebih ramai tokoh politik parti pemerintah dan pembangkang setiap bulan, kata ketua pengarangnya Rosli Ismail.

"Bercakap di tepi-tepi jalan boleh mengelirukan orang ramai kerana isu yang besar perlu didebat secara profesional untuk memberi lebih kefahaman kepada masyarakat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Rosli berkata, rakyat Malaysia memerlukan paradigma baru ke arah menjadi negara maju dan salah satu caranya ialah berhujah secara profesional dan matang.

Katanya, debat bukan bertujuan mencari siapa menang dan siapa kalah tetapi memberi penjelasan secara mendalam ke atas sesuatu isu.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" antara Anwar dan Shabery di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Julai ini, akan bermula jam 9.30 malam.

Rosli berkata Agendadaily.com merancang debat antara naib presiden PAS Datuk Husam Musa dengan naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dengan naib presiden PKR Azmin Ali, dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas perkembangan terkini program pertamanya, bekas penolong pengarang Mingguan Malaysia itu berkata, program tersebut berjalan seperti dijadualkan.

"Petang tadi saya mengambil surat pengesahan dari ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak Anwar.

"Selepas itu saya akan mengambil surat dari Ahmad Shabery pula," katanya lagi.

Rosli berkata, debat selama 90 minit itu akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen untuk penonton dari seluruh negara.

Beliau menjelaskan, Anwar dan menteri itu dibenarkan membawa masing-masing 50 penyokong dan 100 orang lagi diuruskan oleh penganjur.

Katanya, untuk siaran secara langsung, penonton tidak dibenarkan membuat bising kerana boleh mengganggu perdebatan.

Anwar, dalam ucapannya di depan 25,000 orang di stadium Kelana Jaya Ahad lalu, menyatakan kesediaannya menyertai debat tersebut.

Berucap dalam perhimpunan membantah kenaikan harga minyak, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, kalau boleh beliau ingin membahaskan isu tersebut dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Shabery sebelum ini telah menyatakan persetujuannya untuk berdepan dengan Anwar dalam debat itu.

Ini adalah kali pertama debat sesuatu isu negara antara dua tokoh pembangkang dan kerajaan akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Rosli menambah, orang ramai tidak boleh bertanya soalan kepada kedua-dua pembahas tersebut melainkan ahli-ahli panel yang dilantik oleh penganjur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS