Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman menafikan wujudnya persaingan proksi dalam parti itu di Perlis antara kumpulan menteri besar dengan ketua perhubungan Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Saya rasa ada orang cuba mengambil kesempatan tentang isu itu.

"Menteri besar (Datuk Dr Md Isa Sabu) pun tidak mahu buat kumpulannya sendiri. Beliau dipilih oleh ahli-ahli parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

shahidan kassim and isa sabu perlis umno Beliau diminta mengulas ura-ura jawatan utama di bahagian itu akan dicabar oleh calon-calon yang dikatakan pro-menteri besar dalam pemilihan bahagian September ini.

Tambah bekas setiausaha Shahidan itu, beliau sendiri tidak pernah mendakwa dirinya mewakili mana-mana pihak.

"Bagi Pemuda Arau, kita melihat Datuk Seri Shahidan masih lagi relevan di Arau kerana beliau seorang yang banyak berjasa dan boleh memimpin," katanya.

Bekas menteri besar dan wakil rakyat Tambun Tulang itu diura-urakan akan dicabar Amir Hassan - sekarang setiausaha politik Dr Md Isa - untuk jawatan ketua bahagian.

Sementara adiknya Datuk Ismail Kassim, ahli parlimen Arau, pula dijangka dicabar oleh bekas pemimpin Pemuda bahagian Zainuddin Yom dan seorang lagi calon kumpulan pro-menteri besar, Khalib Ahmad.

Zainuddin kini ahli jawatankuasa bahagian, sementara Khalib pula setiausaha khas menteri besar.

Rozabil sendiri diramal dicabar oleh Abu Bakar Hamzah, bagi pihak kumpulan pro-menteri besar, untuk jawatan ketua Pemuda bahagian.

Menurut Rozabil, beliau tidak pernah rasa risau dan takut jika tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya.

"Yang saya risau Umno akan bergolak atau runtuh. Dan orang yang dipilih (menang) bertanggungjawab (nanti) memperbetulkan dan memperkuatkan (semula) Umno," katanya.

Tambahnya, jika wujud pertandingan, perkembangan itu membuktikan Umno mengamalkan demokrasi untuk membenarkan sesiapa bertanding.

"Tidak menjadi masalah, ahli-ahli parti cawangan berhak menentukan pemimpin.

"(Saya) harap ahli-ahli parti memilih pemimpin yang terbaik," kata Rozabil.

Sementara itu, Rozabil berkata Pemuda Umno Arau menyokong Abdullah Hassan dipilih semula sebagai calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang bagi menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam memutuskan untuk menunda pemilihan cawangan-cawangan di bahagian itu - yang dijadualkan Julai dan Ogos depan - sehingga selesai pilihanraya kecil tersebut.

Pilihanraya kecil DUN itu, dalam bahagian Arau, akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 18 Jun yang mengosongkan kerusi itu selepas menerima bantahan dalam petisyen pilihanraya calon PAS, Hashim Jasin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh Abdullah dengan majoriti kecil, 45 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS