dikemaskini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipertikaikan kerana mengeluarkan draf Pelan Induk Pembangunan KL 2020 yang didakwa melanggar "begitu banyak" undang-undang dan peraturan.
Ahli parlimen Lembah Pantai berkata draf pelan itu bertentangan dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa, Dasar Pembangunan Negara dan Pelan Struktur Kuala Lumpur.
"Bagaimana DBKL boleh mengeluarkan sebuah draf pelan induk yang melanggar begitu banyak undang-undang dan peraturan," kata Nurul Izzah Anwar.
Pelan awal itu bercanggahan dengan akta perancangan bandar kerana sewajarnya dibuat mengikut dasar pembangunan itu dan juga pelan struktur ibu kota, tambahnya.
"Polisi CF3 dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur yang melarang penggunaan tanah persekutuan untuk komersil juga turut dilanggar.
"Polisi ini dilanggar kerana pelan deraf menukar kegunaan tanah persekutuan menjadi komersil," katanya di blognya (www.nurulizzah.com).
Seksyen 12 (a) Akta Perancangan Bandar dan Desa yang menyebut keperluan mengadakan rundingan awal bersama penduduk-penduduk yang terkesan secara langsung dengan pembangunan tidak dijalankan, katanya lagi.
Menurut Nurul Izzah, pelan yang dirancang DBKL itu mengurangkan tanah lapang hijau kepada 0.20 hektar sedangkan saiznya sekarang 0.38 hektar bagi setiap 1,000 penduduk.
"Sepatutnya tanah lapang hijau untuk setiap 1,000 penduduk ialah 2 hektar mengikut Dasar Pembangunan Negara.
"Jumlah ini akan menurun kepada 0.20 hektar mengikut Pelan Draf yang termasuk kelab-kelab golf, tanah terbiar, tempat letak kereta dan apa-apa tanah terbiar," tambahnya.
Beliau menjelaskan, pelan yang sedang dirangka itu mengabaikan pelan struktur yang dikeluarkan oleh DBKL sendiri yang menyebut pembangunan tidak boleh dijalankan jika kawasan berbukit itu mempunyai kecerunan lebih 35 peratus.