Kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada enam hakim yang tersingkir akibat krisis kehakiman 1988 sebagai menghargai sumbangan mereka, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini.
Perdana menteri berkata kerajaan mengiktiraf sumbangan mereka: bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah.
Kesemua hakim itu digantung tugas selepas mereka berdepan dengan tribunal atas alasan melakukan salah laku kehakiman.
Eusoffe dan Wan Suleiman telahpun meninggal dunia.
Abdullah berkata sebagai ganti rugi kepada hakim-hakim berkenaan, kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada mereka, lapor Bernama .
"Saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar mata wang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," katanya.
Abdullah berkata bagi kebanyakan orang, peristiwa 1988 itu satu pergolakan dalam sistem kehakiman negara memandangkan banyak yang mempertikaikan kesahan dan prinsip moral prosiding yang berkaitan.
Perdana menteri menegaskan demikian dalam ucaptama bertajuk 'Delivering Justice, Renewing Trust' di jamuan malam Majlis Peguam di ibu negara malam ini.
Selain empat hakim kanan itu dan keluarga lagi hakim yang yang telah meninggal dunia, majlis itu turut dihadiri oleh presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.
"Secara peribadi, saya merasakan ia adalah tempoh krisis yang negara tidak akan kembali pulih sepenuhnya. Sekali lagi, tuan-tuan dan puan-puan, ayuh kita mara ke hadapan.
"Saya tidak fikir bahawa meninjau semula keputusan yang lepas adalah tindakan yang bijak, atau membantu, memandangkan ia hanya akan memanjangkan kesan krisis itu - sesuatu yang negara kita tidak perlukan. Rakyat mahukan pergerakan dan kemajuan, bukan persengketaan yang berterusan.
"Oleh itu, kerajaan ingin mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka mendukung keadilan dan mengakui penderitaan serta kehilangan yang telahpun mereka tempuhi," katanya.
"Bagi Tan Sri Eusoffe dan Tan Sri Wan Suleiman serta keluarga mereka, saya tahu bahawa sentimen ini dibuat terlalu lambat.
"Bagi Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah dan Datuk George Seah, sungguhpun pengakuan ini dibuat 20 tahun terlewat, namun ia dilakukan dengan sepenuh harapan agar sedikit sebanyak penderitaan dan kehilangan itu dapat kembali sembuh," katanya, disambut tepukan gemuruh.
Sambil mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman dan bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara konsisten, perdana menteri berkata apa yang beliau umumkan malam ini menjadi permulaan bagi satu proses yang lebih panjang ke arah perubahan.
"Saya dengan rendah diri ingin meminta sokongan tuan-tuan kepada langkah yang akan diambil ini memandangkan keperluan untuk melakukan perubahan ini mungkin tidak jelas sepenuhnya bagi semua orang.
"Kami telah memulakan langkah awal, namun penting. Kini terserah kepada semua pihak yang berkenaan - badan kehakiman, badan peguam, masyarakat sivil dan orang awam keseluruhannya - untuk turut menjalankan peranan masing-masing memudahkan perubahan ini," katanya.
Abdullah berkata menjadi harapannya agar "kita dapat memulakan babak baru bagi badan kehakiman Malaysia".
"Menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk terus memperkukuhkan institusi demokrasi kita, menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang sukar diselesaikan yang menghalang pembinaan negara yang tulen.
"Marilah kita menulis babak gemilang dan baru ini bersama-sama," katanya.