Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Agenda negara Islam tidak menjadi sebahagian inti Pakatan Rakyat tetapi sekadar idealisme ahli-ahli PAS, kata naib presiden parti itu Datuk Husam Musa.

"Pada zaman nabi Muhammad, tidak secara jelas menyebut negara Islam. Perdebatan tentang istilah ini boleh mengelirukan. Pada pendapat saya, kita perlu mencari istilah yang lebih disenangi atau dapat difahami oleh masyarakat ramai.

"Oleh kerana negara Islam sebagai idealisme (PAS), maka ia memberikan satu panduan kepada petugas-petugas PAS," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam.

husam musa bangsar 080408 drinks latte Beliau diminta mengulas kontroversi awal penubuhan Pakatan Rakyat minggu lalu susulan kenyataan timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam."

Husam, yang juga exco kanan kerajaan PAS itu, berkata intipati perjuangannya termasuklah tadbir urus yang Islamik seperti amanah, telus, adil dan saksama, tidak mendiskriminasi, membantu yang lemah dan prihatin.

"Prinsip-prinsip tadbir urus ini lebih mustahak kerana keadaan negara hari ini - rasuah yang melanda, penghakisan (kebebasan) dalam badan kehakiman, kebebasan bersuara, kebebasan beragama," katanya.

"Idealisme negara Islam harus diteruskan oleh ahli-ahli PAS tetapi PAS juga telah menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai kerangka utama untuk bergerak.

"Saya ingat (penerimaan) ini satu jaminan kepada pemimpin-pemimpin kanan seperti Karpal Singh bahawa tidak ada perubahan (yang berbeza) di luar imaginasi mereka."

Isu negara Islam, tambahnya, sering mengelirukan kerana model yang ada kini seperti Iran, Arab Saudi, Bangladesh mencipta tanggapan berbeza-beza kepada banyak orang.

"Untuk melawan gejala rasuah, apakah asas tindakan anda? Jadi, bagi ahli-ahli PAS, ajaran Islam (sebagai asasnya).

"Anda mesti menjadi seorang pemimpin yang bersih, bertanggungjawab, telus, dan ini semua preskripsi untuk tadbir urus yang juga Islamik. Jika anda tidak mempunyai (asas) ini, anda hanya seumpama pemimpin Umno."

husam musa bangsar 080408 right Menurut Husam lagi, Pakatan Rakyat membenarkan ketiga-tiga parti pembangkang berada dalam satu platform dan terpulang kepada parti masing-masing menentukan parameter utama pakatan tersebut.

"Khususnya berkaitan tadbir urus, termasuk kerajaan yang bersih, adil, memberi peluang sama rata, mengambil berat kumpulan miskin dan tertinggal, mengutamakan kebajikan, menguruskan (wang) negara secara berhemah, dan dengan itu mengelakkan pembaziran, melaksanakan amalan tender terbuka - ini akan banyak membantu negara kita berada atas landasan yang betul," katanya.

"Dan inilah yang telah hilang - kemandirian badan kehakiman, kebebasan bersuara, agenda moral untuk generasi muda, menurunkan kadar jenayah, masalah penyalahgunaan dadah, - inilah agenda-agenda negara yang juga selari dengan ajaran Islam. Tidak ada pertentangan di sini.

"Jika kita membincangkan (isu) PAS sebagai tunjang Pakatan Rakyat, ia mestilah selepas penerimaan orang ramai, bukan dengan cara mendakwa 'saya (PAS) tunjang (Pakatan)' tetapi mestilah melalui penerimaan awam, dan inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah," katanya.

"Dari segi PAS, Pakatan Rakyat yang menyaksikan kesediaan DAP menerima PAS (sebagai rakan Pakatan) - itu sudah satu kejayaan yang besar.

"Yang penting lagi, ketiga-tiga parti ini harus faham bahawa kemenangan mereka baru-baru ini disebabkan oleh lonjakan (sokongan) pelbagai kaum tanpa merujuk kepada parti-parti tertentu."

"(Faktor) nombor satu, penolakan (pengundi) terhadap BN, mereka mahu mengurangkan majoriti dua pertiga BN, untuk menurunkan kebongkakan kuasa BN, bukan kerana mereka (pengundi) lebih menyayangi PAS, DAP atau PKR; tetapi (pengundi) lebih membenci BN."

anwar tour perak 050308 gopeng mixed crowd big Jadi, tambahnya, setiap parti dalam Pakatan tidak boleh mendakwa keputusan 8 Mac lalu itu sebagai kemenangan parti masing-masing.

"(Kemenangan) itu menjadi harapan rakyat umumnya - kita kena simpan (harapan ini) sebagai takungan simpanan, maksudnya, kita harus meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan nombor satu.

"Lihat contohnya di Perak, sewaktu DAP tidak boleh menerima menteri besar daripada calon PAS, anda lihat laman web (tokoh utamanya) Lim Kit Siang dipenuhi komentar daripada (pengunjung) pelbagai kaum, terutama sekali Cina, ...

"Kerana mereka (pengunjung) tidak kisah siapa yang menjadi menteri besar selagi kerajaan baru ini boleh menggantikan kerajaan lama (BN). Jadi, inilah trend baru (pengundi).

"Jadi, apabila sesebuah parti cuba menegakkan agendanya sendiri-sendiri, ia akan mengabaikan harapan rakyat. Dan saya fikir, harapan rakyat itu sudah cukup Islamik.

"Mereka mahu kerajaan yang bersih, prihatin, baik - ini semua sejajar dengan ajaran Islam," jelas Husam, yang sering dikaitkan dengan golongan pemimpin PAS berfikiran terbuka, dengan panjang lebar.

Pakatan, nama awal yang masih di peringkat cadangan, diumumkan 1 April lalu kini menunggu keputusan muktamad daripada setiap satu daripada tiga parti pembangkang itu.

Keputusan menubuhkannya dibuat dalam satu perjumpaan awal yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

Semalam Ahmad dilaporkan menafikan bertegas PAS harus menjadi "tunjang" pakatan itu dan melahirkan rasa kesal pada laporan-laporan media yang dianggapnya "menyimpang daripada kenyataan asalnya" mengenai isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS