Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disaran mengetuai rombongan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menemui Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku antara kedua-dua pihak.
Ketika membuat saranan tersebut, ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee berkata pertemuan itu perlu diadakan segera demi kepentingan parti dan negara.
"(Pertemuan) ini perlu kerana apa yang berlaku sekarang antara kepimpinan Umno dengan bekas perdana menteri itu seperti mana yang dilaporkan dalam media sejak akhir-akhir ini, tidak akan menguntungkan sesiapa, malahan akan menghancurkan parti.
"Tidak ada gunanya tuduh-menuduh sesama sendiri kerana ada cara lain yang lebih baik bagi menangani masalah yang dihadapi.
"Saya percaya semua pihak mahu melakukan sesuatu yang terbaik untuk mengembalikan semula kekuatan parti yang agak terjejas selepas pilihanraya umum lepas," katanya kepada Bernama .
Syed Ali berkata Abdullah sebagai presiden parti wajar membawa kesemua ahli MT menemui Dr Mahathir bagi menjernihkan keadaan, selain mendapatkan pandangannya terutama mengenai cara memulihkan kembali pengaruh parti.
Katanya lagi, pertemuan tersebut eloklah dalam masa terdekat kerana jika ketegangan antara dua tokoh itu dibiarkan berlarutan, dibimbangkan ia akan memburukkan kemelut yang melanda Umno kini dan membawa kehancuran parti.
Orang tengah
Veteran Umno dari Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa pula mahukan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) menggunakan pengalaman mereka untuk membantu mencari pendekatan sesuai dan berkesan bagi mengukuhkan Umno.
Beliau berkata orang tengah perlu dicari dan Mubarak dilihat mempunyai potensi untuk membantu menghentikan tindakan tuduh-menuduh sesama ahli Umno yang sedang berlaku sekarang.
"Pemimpin-pemimpin besar ini, hentikanlah salah-menyalah antara satu sama lain, kita bimbang kerana pepatah Melayu pernah menyebut 'antan sama lesung berlaga, ayam yang kenyang'," katanya.
Dr Mahathir mengkritik kepimpinan Abdullah sejak dua tahun lepas dan meningkatkan serangannya selepas pilihanraya umum 8 Mac, sehingga perdana menteri - yang selama ini mengambil sikap mendiamkan diri - membuat kenyataan balas terhadap bekas perdana menteri itu kelmarin.
Abdul Aziz berkata pilihanraya umum telah sebulan berlalu, tetapi ahli Umno masih lagi saling menyalahkan antara satu sama lain atas prestasi buruk Barisan Nasional.
"Sepatutnya kita pakat-pakat cari jalan untuk menguatkan parti," katanya.