Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga dijejaki polis kes 'natang'
Diterbitkan:  Mar 28, 2008 11:27 PM
Dikemaskini: 9:36 PM

Tiga lelaki akan disiasat berhubung kain rentang 'kami nak Idris, natang' yang dinaikkan sewaktu perhimpunan penyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di kediaman rasminya Ahad lalu.

Ketiga-tiganya telah dikenal pasti dan polis sedang mengesan mereka, kata ketua polis Terengganu Datuk Ayub Yaakob hari ini.

idris jusoh terengganu natang binatang animal banner 260308 02 Beberapa pihak membuat aduan polis baru-baru ini berhubung kain rentang tersebut yang mereka anggap "menghina institusi raja".

Pemuda PAS negeri membuat laporan polis 25 Mac, manakala sebuah perkumpulan yang dikenali Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) ke balai polis Kuala Terengganu keesokannya.

Awal minggu ini ketua Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub, yang juga seorang ahli parlimen, menggesa polis menyiasat kes tersebut sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

pas youth pc 250308 salahuddin ayub Sambil menunjukkan foto-foto tersebut, beliau juga mendakwa kain rentang seumpama itu dipasang di beberapa lagi tempat strategik di Terengganu.

Kain rentang putih bertulisan merah itu kelihatan dipegang oleh beberapa lelaki seperti disiarkan di dua stesen televisyen swasta - dua imej tersebut kini semakin luas tersebar di internet.

Politik Terengganu berada dalam keadaan tidak menentu selama 19 hari, sejak BN berjaya mempertahankan kemenangannya pada pilihanraya umum 8 Mac, selepas pelantikan semula Idris tidak mendapat perkenan istana.

Majlis angkat sumpah beliau di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac dibatalkan secara mengejut.

Ahad lalu, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai pengganti Idris - tetapi majlis angkat sumpah Ahmad ditangguhkan apabila 22 wakil BN, tidak termasuk Idris, memulaukan majlis tersebut.

idris jusoh terengganu natang binatang animal banner 260308 01 Beberapa ratus penyokong Idris berkumpul di kediaman rasminya, tidak jauh dari Istana Tetamu - tempat berlangsungnya majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad oleh MPPR.

Kain rentang kontroversi itu ditemui berada dalam perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, lapor Bernama lagi, polis negeri juga menasihati orang ramai yang akan menyambut keberangkatan pulang Sultan Terengganu, yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, agar tidak menaikkan sepanduk yang "mengandungi perkataan-perkataan sensitif".

Polis juga menasihati orang ramai agar menjaga kelakuan dan emosi sewaktu menyambut baginda di lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud di Telaga Batin, tidak jauh dari Kuala Terengganu.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka tiba jam 10 pagi untuk menyertai acara sukan berkuda Malaysian Endurance Circuit 2008 di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu.

Sambutan besar-besaran itu yang dijangka disertai 10,000 penduduk dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan, termasuk Mampat dan persatuan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman - tempat baginda mendapat pendidikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS