Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga nama calon MB Perak
Diterbitkan:  Mar 10, 2008 6:28 PM
Dikemaskini: 5:13 PM

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menerima menghadap wakil PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berhasrat menubuhkan kerajaan campuran di Perak.

Rombongan tersebut menghadap Raja Dr Nazrin jam 4 petang tadi, selama kira-kira 30 minit di Istana Kinta di Ipoh, diketuai Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang, Pengerusi PKR Perak, Zulkfili Ibrahim dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Malaysiakini difahamkan bahawa senarai calon bakal menteri besar - seorang dari setiap parti - telah diserahkan dalam pertemuan tersebut untuk dikemukakan kepada Sultan Perak.

Sehingga ini, calon utama bagi jawatan tersebut dipercayai wakil rakyat PAS dari Pasir Panjang, Mohamad Nizar Jamaluddin dan wakil rakyat PKR bagi Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Difahamkam, dalam persetujuan yang dicapai antara parti-parti pembangkang, DAP yang mempunyai kerusi terbanyak Dewan Undangan Negeri (DUN), bersetuju wakil PKR dilantik sebagai menteri besar, dan DAP pula diberikan tujuh jawatan exco kerajaan negeri.

PAS dan PKR pula masing-masing mendapat dua kerusi exco.

Kerajaan campuran

Dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, DAP menang 18 kerusi DUN, PKR (7) dan PAS (6). Keseluruhannya pembangkang menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN.

Majoriti mudah yang diperlukan ialah sebanyak 30 kerusi.

Barisan Nasional (BN) pula hanya menang 28 kerusi berbanding 52 kerusi yang dikuasainya sebelum ini.

Ahmad berkata mereka telah memohon perkenan pemangku Raja Perak untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.

"Kami menghadap baginda bagi mendapat perkenan membentuk kerajaan campuran dan telah mengemukakan nama calon Menteri Besar," katanya ringkas kepada pemberita di luar istana.

Turut serta menghadap ialah wakil rakyat dari Behrang (PKR), Jamaluddin Mohd Radzi, Pasir Panjang (PAS), Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Nga Kor Ming (DAP) Pantai Remis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS