Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enakmen syariah baru Kelantan boleh dicabar 'Nik Elin 2.0', kata peguam

Peguam dari Kelantan, Nik Elin Nik Rashid, yang sebelum ini berjaya mencabar undang-undang syariah negeri itu di mahkamah, sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap undang-undang baru yang diluluskan pada 12 Ogos lalu.

Dalam hantaran di Facebook, Nik Elin berkata dia telah meneliti teks Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 setebal 147 muka surat dan mendapati sekurang-kurangnya 11 peruntukan berpotensi dicabar di mahkamah.

“Jangan asyik menghukum rakyat (Kelantan) dengan undang-undang yang mungkin sedap didengar pada nama dan perkataannya, tetapi akhirnya hanya menjadi retorik politik dan boleh dicabar oleh ‘Nik Elin 2.0’,” katanya, merujuk kepada kemungkinan munculnya pihak lain yang mengkritik undang-undang tersebut sepertinya.

Bagaimanapun, Nik Elin berkata dia tidak berhasrat mencabar undang-undang baru itu selepas melalui pertikaian undang-undang selama dua tahun.

Pertikaian tersebut berakhir pada Februari 2024 apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dia turut menegaskan bahawa undang-undang sepatutnya digubal untuk membawa keadilan, kemaslahatan dan kesejahteraan kepada rakyat dan bukan menunjukkan siapa yang lebih berkuasa.

Keputusan Mahkamah Persekutuan

Sebelum ini panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan dengan majoriti 8-1 untuk membenarkan permohonan Nik Elin dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, bagi membatalkan peruntukan berkenaan.

Mahkamah tertinggi negara itu memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan telah melampaui kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan apabila menggubal undang-undang mengenai perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, termasuk beberapa perkara berkaitan undang-undang jenayah umum.

Enakmen baru yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan itu digubal sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Kelantan tidak sekadar mengembalikan semula peruntukan yang telah dibatalkan. Sebaliknya, beberapa kesalahan telah digubal semula dengan mengaitkannya kepada kewajipan agama yang dikenakan ke atas orang Islam. Ini dipercayai bertujuan memastikan peruntukan tersebut kekal dalam bidang kuasa negeri berkaitan undang-undang Islam.

Nik Elin kecewa

Ketika dihubungi Malaysiakini, Nik Elin berkata dia tidak bercadang mencabar enakmen baru itu, tetapi kecewa kerana wakil rakyat di negeri itu tidak menggubal undang-undang tersebut dengan lebih baik.

Katanya, undang-undang bukan sahaja perlu kelihatan baik di atas kertas, tetapi juga mesti boleh dilaksanakan dan dikuatkuasakan.

Menurutnya, walaupun kemungkinan untuknya mencabar undang-undang itu sekali lagi adalah rendah, masih ada kemungkinan individu atau organisasi lain akan mencabarnya pada masa depan.

Tambahnya, jika perkara itu berlaku, ia bukan sahaja akan menunjukkan kelemahan undang-undang tersebut, malah boleh membuktikan bahawa wakil rakyat yang menggubalnya juga tidak kompeten.

Definisi orang Islam

Nik Elin turut mempersoalkan definisi “orang Islam” dalam enakmen baru itu yang bukan sahaja merangkumi individu, tetapi juga badan, gerakan atau kumpulan, diperbadankan atau tidak diperbadankan, yang diuruskan oleh orang Islam.

Definisi itu turut merangkumi badan yang menjalankan aktiviti, mengambil pendirian atau memberikan pandangan mengenai perkara berkaitan undang-undang syariah.

Menurut Nik Elin, peruntukan tersebut seolah-olah memasukkan syarikat, organisasi dan kumpulan ke dalam definisi undang-undang sebagai “orang Islam”.

Dia kemudian membandingkan perkara itu dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun 2025 dalam kes SIS Forum (Malaysia).

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa istilah “persons professing the religion of Islam” atau “orang yang menganut agama Islam” dalam Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada manusia sebenar, bukan entiti undang-undang seperti syarikat atau organisasi.

Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa fatwa Selangor pada 2014 yang mengisytiharkan SIS Forum dan pihak lain yang dikaitkan dengan fahaman liberalisme serta pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh dikenakan terhadap organisasi itu sendiri.

‘Saya bukan mencabar Islam’

Nik Elin turut merujuk kepada siasatan polis terhadap ancaman bunuh dan serangan dalam talian yang diterimanya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2024.

Katanya, dia bukan mencabar Islam, sebaliknya hanya mempersoalkan sama ada undang-undang tersebut digubal mengikut bidang kuasa yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Dia juga mengakui terdapat beberapa peruntukan dalam undang-undang baru itu yang baik dan wajar dipuji. Namun begitu, katanya, persoalan mengenai bagaimana peruntukan tersebut akan dilaksanakan masih belum dapat dipastikan.

Kelantan sedia dicabar

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri bersedia mempertahankan enakmen baru itu sekiranya ia sekali lagi dicabar di mahkamah.

"Segala perjuangan kita tidak putus asa, ada orang batal, kita bawa balik, dia batal lagi, kita bawa semula balik,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Nassuruddin turut menegaskan bahawa langkah menggubal dan mempertahankan enakmen syariah negeri merupakan kewajipan yang akan dipertanggungjawabkan kepada pemimpin negeri itu di akhirat kelak.

Ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Asri Daud, mengulangi pendirian Nassuruddin.

Dia berkata kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan enakmen itu mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri telah buat sebaik mungkin dengan tubuh jawatankuasa induk penggubalan enakmen dan kemudian jawatankuasa teknikal enakmen sehingga mereka adakan lebih 10 kali bengkel mempersiapkan gubalan baru untuk pastikan yang terbaik,” katanya.

Asri berkata draf tersebut kemudiannya dirujuk kepada Jemaah Ulama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebelum diteliti oleh ahli Majlis MAIK.

Jelasnya, draf itu kemudian dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) melalui bahagian undang-undang kerajaan negeri sebelum dibentangkan untuk perbahasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS