Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas CEO Tabung Haji direman tujuh hari 
Diterbitkan:  Aug 21, 2026 11:49 AM
Dikemaskini: 4:31 AM
  • Dikemas kini dengan perkembangan terkini.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Perintah reman bermula hari ini hingga Khamis depan (27 Ogos) terhadap suspek berumur lingkungan 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

SPRM sebelum ini menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka terdiri daripada seorang bekas CEO syarikat perkapalan selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji.

Terdahulu, bekas CEO itu tiba di Mahkamah Putrajaya pada 9.35 pagi dengan memakai baju reman SPRM berwarna jingga bagi mendapat perintah reman.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan yang lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS