Paling Popular
Terkini

Majoriti perwakilan DAP mengundi supaya parti itu kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, menerusi undian yang dijalankan secara suit hari ini.

Daripada 2,099 kertas undi, seramai 1,857 perwakilan mengundi menyokong usul yang dibentangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Seramai 242 perwakilan lagi mengundi menolak usul berkenaan, manakala tujuh kertas undi dikira sebagai undi rosak.

Seramai 2,223 perwakilan, atau 52.1 peratus daripada wakil akar umbi yang berdaftar, menghadiri Konvensyen Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Keputusan undian itu diumumkan Pengerusi Persidangan, Cha Kee Chin, pada sidang media selepas perbahasan oleh 14 wakil negeri.

Undian itu mengesahkan pendirian DAP untuk terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal, sekali gus menamatkan perdebatan mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan jumlah kehadiran perwakilan sebagai sesuatu yang "agak biasa".

Dia turut menjelaskan sebahagian perwakilan mungkin tidak dapat menghadiri persidangan hari ini kerana urusan lain.

"Walaupun ketika pemilihan parti, sekitar 70 peratus akan hadir, (jadi) untuk persidangan yang tiada pemilihan, kehadiran lebih 2,000 perwakilan merupakan angka yang tinggi.

"Perwakilan kami terdiri daripada anggota akar umbi yang bukan tauke besar atau bos. Ada antara mereka yang merupakan peniaga atau pemilik perniagaan kecil yang perlu meneruskan urusan perniagaan mereka," kata Loke.

Kerjasama dengan Umno

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak berhubung kerjasama dengan Umno, Loke menegaskan bahawa perwakilan yang mengundi menyokong usul hari ini berbuat demikian dengan mengambil kira kerangka kerajaan perpaduan.

"Perwakilan telah mengundi supaya kita kekal dalam kerajaan - ini adalah kehendak perwakilan, dengan mengetahui sepenuhnya bahawa kita perlu bekerjasama dengan Umno sebagai sebahagian daripada realiti politik yang difahami oleh semua perwakilan.

"Kita perlu menghormati proses demokrasi, sebab itu saya membawa usul ini pada persidangan kebangsaan kita dan perwakilan mengundinya," tegas Loke.

Dia berkata, meskipun menghormati pandangan mereka yang menolak usul berkenaan, DAP perlu mematuhi keputusan majoriti.

"Majoriti yang meyakinkan - 88 peratus - mengundi supaya kita kekal (dalam kerajaan). Saya berharap mereka yang tidak bersetuju dapat menghormati pandangan dan kehendak orang lain.

"Walaupun ada rasa tidak puas hati... saya berharap mereka dapat menghormati dan menyokong kepimpinan parti kita untuk memainkan peranan secara konstruktif," tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata BN akan kekal dalam kerajaan walaupun hubungan antara gabungan itu dan PH semakin tegang susulan kerjasamanya dengan PN.

Mengulas kenyataan Anwar pada Kongres PKR di Melaka hari ini, Loke mengesahkan bahawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH itu telah membincangkan perkara berkenaan dengan Majlis Pimpinan PH.

"(Anwar) mempunyai pandangan dan pertimbangan (untuk memastikan) kerajaan kekal stabil.

"Saya fikir kami sudah mengambil kira bahawa memang terdapat perbezaan antara parti dalam kerajaan, tetapi kita perlu memastikan kerajaan kekal stabil supaya apa yang telah kita bincangkan dapat dilaksanakan.

"Kita tidak mahu mewujudkan satu lagi ketidakstabilan dalam kerajaan," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS