Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertikaian Hadi-DAP tiada sebab diseret ke mahkamah
Diterbitkan:  Aug 10, 2026 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Tiada sebab untuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang membawa perkara itu ke mahkamah bagi membuktikan dakwaannya bahawa DAP mengancam kepentingan orang Melayu dan Islam, kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

“Demokrasi tidak mensyaratkan semua pertikaian diseret ke mahkamah.

"Ada perkara yang perlu diputuskan oleh hakim, ada yang berada di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan dan ada juga yang sewajarnya diputuskan melalui perbahasan terbuka berdasarkan dokumen, rekod, dasar serta jawapan substantif daripada pihak yang dipersoalkan.

"Dalam isu ini, cabaran “samanlah jika benar” tidak menamatkan perdebatan, sebaliknya hanya mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok yang masih terus diperdebatkan,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Fadhli berkata mahkamah bertujuan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya bertindak sebagai “tribunal awam” bagi menentukan sama ada ideologi sesebuah parti politik bersikap mesra atau memusuhi agama atau kelompok masyarakat tertentu.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas terhadap Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu, yang mencabar Hadi supaya membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata dakwaan seberat itu sepatutnya diuji melalui saluran undang-undang dan bukannya diulang-ulang sebagai retorik politik.

“Jika benar terdapat bukti DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti terbabit ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.

Gambar fail, PAS pernah menjalinkan hubungan bersama PKR dan DAP ketika era kerjasama Pakatan Rakyat.

"Jangan hanya mengulang retorik bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi, khususnya pengikut dan rakyat yang termakan propaganda sebegini,” kata Aiman.

Kenyataan Hadi menerima kecaman daripada pelbagai pihak namun Fadhli mempersoalkan sama ada ukuran yang sama turut digunakan secara konsisten terhadap parti politik lain.

Katanya pemimpin Amanah sebelum ini pernah melabelkan PAS sebagai konservatif dan berhaluan keras manakala pemimpin DAP pula pernah membandingkan PAS dengan Taliban bagi menggambarkan pendekatan politik yang dianggap terlalu ekstrem.

Fadhli berkata gambaran sedemikian tidak pernah dibawa ke mahkamah untuk dibuktikan, sebaliknya digunakan sebagai hujah politik dalam medan demokrasi.

“Jika pihak lain dibenarkan menilai PAS berdasarkan kenyataan pemimpin, pendirian parti, rekod tindakan dan kecenderungan ideologinya tanpa perlu terlebih dahulu mendapatkan penghakiman mahkamah, maka prinsip yang sama juga sewajarnya terpakai kepada DAP.

"Jika tidak, akan timbul keadaan yang memperlihatkan wujudnya dua ukuran yang berbeza, iaitu satu ukuran untuk PAS dan satu lagi ukuran untuk DAP,” katanya.

Fadhli turut mendakwa tindakan Aiman memberikan maklum balas bagi pihak DAP mengukuhkan persepsi bahawa pemimpin Amanah lebih cenderung mempertahankan kepentingan DAP daripada memberikan penjelasan yang objektif.

Sementara itu, ketika mempertahankan lagi kenyataan Hadi, Fadhli berkata kebimbangan terhadap pendirian DAP mengenai Islam bukanlah perkembangan yang baru.

Antara contoh yang disebutnya ialah khutbah Aidiladha oleh pihak berkuasa agama Pahang pada 2015 yang mendakwa DAP secara terbuka menentang Islam.

Fadhli turut merujuk kenyataan terdahulu beberapa pemimpin DAP sebagai contoh pendirian parti itu yang disifatkannya sebagai kontroversial dalam isu berkaitan Islam.

Dia juga merujuk kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada 2015 yang mendapati 64 peratus responden bersetuju dengan kenyataan bahawa DAP bersifat anti-Melayu dan anti-Islam manakala 72 peratus melihat DAP sebagai parti yang lebih melindungi kepentingan masyarakat Cina.

Bagaimanapun, laporan itu mengaitkan persepsi negatif tersebut sebahagiannya dengan tindakan PAS dan Umno memburuk-burukkan DAP. Sentimen negatif terhadap DAP juga didapati lebih rendah di kawasan pilihan raya yang diwakili oleh wakil rakyat parti itu.

Secara berasingan, Fadhli merujuk Fasal II Perlembagaan DAP yang menyenaraikan usaha mengembalikan Perlembagaan Malaysia kepada kerangka sekular asalnya sebagai salah satu matlamat parti itu.

Fadhli berkata Perlembagaan DAP tidak menyebut secara jelas kedudukan Islam sebagai agama rasmi ataupun kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, sebaliknya merujuk usaha mengembalikan Perlembagaan kepada kerangka sekular asalnya.

“Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan rangka kerja sekular itu dan bagaimanakah ia ditafsirkan dalam konteks kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?” katanya.

Dia berkata perkara itu menimbulkan persoalan sama ada perlembagaan dan kegiatan DAP mematuhi Akta Pertubuhan 1966, sambil menambah bahawa perkara berkenaan perlu dinilai mengikut prosedur yang berkaitan.

Menurutnya, hal itu turut menjawab persoalan Aiman tentang sebab PAS tidak mengharamkan DAP ketika berada dalam kerajaan dari 2020 hingga 2022.

“Sesebuah parti politik yang berada dalam kerajaan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk mengharamkan parti lain.

"Kuasa tersebut tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa yang berkaitan.

“Hakikatnya, pihak yang paling lantang menggesa supaya sesuatu dakwaan dibuktikan di mahkamah juga sering melontarkan pelbagai label politik terhadap lawan mereka tanpa menunggu sebarang keputusan mahkamah.

“Oleh itu, ukuran yang sama hendaklah digunakan terhadap semua pihak,” jelas Fadhli lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS