Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AKPS: Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta lepas semua pemeriksaan di KLIA

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hari ini mengesahkan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang Indonesia kerana memiliki lebih 70,000 pil ekstasi (MDMA) dan 2.7 gram methamphetamine telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Jakarta bersama 170 penumpang.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan pemeriksaan wajib sebelum berlepas terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dan bagasinya tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan seperti biasa dengan menggunakan pengimbas, barangan atau beg yang dibawanya tidak menghasilkan imej yang mencurigakan.

“Justeru, dia melepasi pemeriksaan biasa yang dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan di KLIA.

“Mana-mana individu yang berniat membawa barangan terlarang mungkin menyembunyikannya. Mungkin cara barangan itu dibungkus menyebabkan pengimbas tidak dapat mengesannya.

“Jadi modus operandi membungkus atau menyembunyikan MDMA dan methamphetamine itu kita masih menunggu maklumat daripada pihak polis,” kata Shuhaily dalam sidang media di KLIA, hari ini.

Ketika dihubungi, Ketua Pejabat Utama Kastam dan Eksais Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata suspek yang ditahan pada 29 Julai di Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno-Hatta kini ditahan di ibu pejabat Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia.

“Pejabat kami sedang bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan yang masih berjalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kedutaan Malaysia di Jakarta pada Jumaat dilaporkan sedang berusaha mendapatkan akses konsular kepada suspek yang berdepan hukuman mati, selepas siasatan awal merekodkan pengakuan mengenai dua cubaan terdahulu yang didakwa berkaitan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.

Aritonang turut berkongsi sebuah video ringkas yang dipercayai dirakam selepas penahanan itu, yang kelihatan menunjukkan suspek diberikan keputusan positif ujian Narcotics Identification Kit-U (NIK-U) terhadap bahan yang ditemui dalam milikannya.

NIK-U ialah ujian kimia awal di lapangan yang digunakan untuk mengesan kemungkinan kehadiran methamphetamine dalam bahan yang disyaki.

Keputusan positif bersifat awal dan lazimnya akan disusuli analisis makmal bagi pengesahan.

Pejabat Kastam Indonesia sebelum ini turut mengeluarkan rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki berpakaian seragam juruterbang ditahan pihak berkuasa selepas pemeriksaan terhadap dua bagasinya menemui dadah yang didakwa disimpan dalam 14 bungkusan seberat kira-kira 25 kilogram, dengan nilai dianggarkan Rp60 bilion.

Berdasarkan rakaman itu, lelaki yang didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain itu juga dipercayai membawa sebotol kecil cecair yang disyaki air kencing, yang ditemui dalam bagasinya.

Sementara itu, Shuhaily berkata AKPS turut menghadiri mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Kementerian Pengangkutan hari ini, yang turut disertai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan, serta wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Aviation Group, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi berkaitan lain.

“Saya akan menunggu hasil siasatan pihak polis. Jika polis mendapati wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai saya, semua orang sudah tahu cara saya bekerja. Saya akan memastikan tiada satu pun aspek yang terlepas daripada siasatan,” tegasnya.

Hussein juga dilaporkan berkata polis Malaysia sedang mengatur penghantaran sepasukan penyiasat ke Jakarta bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk mengenal pasti sumber dadah itu dan sama ada suspek bertindak bersendirian atau sebagai sebahagian daripada sindiket.

Sementara itu, MAHB hari ini dilaporkan menegaskan semula komitmennya untuk menyokong usaha pelbagai agensi dalam melindungi sempadan Malaysia daripada kegiatan haram susulan penahanan juruterbang tersebut.

MAHB turut menjelaskan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) melaksanakan protokol keselamatan yang ketat serta menggunakan sistem saringan canggih yang ditentukur bagi mengesan ancaman seperti bahan letupan, senjata dan barangan berbahaya lain yang boleh mengancam keselamatan penerbangan.

“Sistem pengendalian bagasi di KLIA direka berdasarkan keutamaan keselamatan yang kritikal ini.

“Semua bagasi daftar masuk yang berlepas melalui KLIA, sama ada milik penumpang atau kru syarikat penerbangan, tertakluk kepada saringan keselamatan penerbangan mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan,” kata MAHB.

Bagaimanapun, MAHB berkata pengesanan, siasatan dan penguatkuasaan kesalahan membabitkan bahan terlarang yang tidak menimbulkan ancaman langsung kepada keselamatan penerbangan terletak di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa berkaitan.

Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi kes membabitkan dadah, barang seludup dan bahan terlarang lain, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengendalikan kes berkaitan penyeludupan hidupan liar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS