Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh mempertahankan ucapan kontroversinya ketika berceramah di Kuala Terengganu, menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.
Nik Zawawi yang juga ahli parlimen Pasir Puteh menjelaskan kenyataan yang menyebut Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar al-Khattab berperangai ganas serta suka berzina dibuat dalam konteks menunjukkan realiti masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu juga berkata kenyataan berkenaan dibuat sebagai perbandingan bagi membantu orang ramai memahami perbezaan antara zaman jahiliah dan era hidayah Islam.
"Sahabat-sahabat semua berlaku adillah dalam perkara ini, saya nak sebut bahawa bila kita tengok sesuatu kita tengok dengan positif.

"Ini jadi menghentam itu tak baik dan saya memaafkan apa yang disebut oleh sahabat (yang menghentam).
"Kita boleh rujuk dalam kitab pelbagai bagaimana suasana zaman jahiliah yang tidak ada seorang ulama mengecualikan orang sekian-sekian Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar ke, selamat daripada sistem jahiliah.
"Tidak timbul sama sekali isu mencerca para sahabat Nabi," katanya pada satu video menjelaskan kontroversi berkenaan.
Terdahulu, tular petikan ucapan bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu yang menyentuh kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Gesaan bertaubat, istighfar
Dalam ucapan berkenaan, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin manakala Umar pula didakwanya berperangai ganas dan suka berzina.
Kenyataan tersebut mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin PAS sendiri, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menggesa Nik Zawawi supaya bertaubat.
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar (gambar bawah) yang membuat teguran umum menerusi kenyataan di Facebook menegaskan kedudukan para sahabat Rasulullah bukan seperti manusia biasa dalam sejarah Islam.

Walaupun mesej pada hantaran asalnya itu dibuat secara umum tanpa menamakan sesiapa namun Mohamed Sukri kemudian menyebut nama Nik Zawawi secara khusus di ruangan komen bagi menjawab reaksi pembaca.
“Respon saya ini ke atas ceramah YB Dr Nik Zawawi. Saya takkan bela sesiapa pun yang mengatasi Nabi SAW dan para sahabat.
“Salah tetap salah, YB Dr Nik Zawawi perlu bertaubat dan betulkan kenyataan,” kata Sukri.
Dalam perkembangan sama, Dewan Ulama PAS Pahang mengingatkan bahawa sesiapa yang memperkatakan Rasulullah, isteri baginda atau para sahabat perlu berhati-hati dan membuat penelitian sewajarnya.

"Keterlanjuran bicara mesti segera disusuli dengan istighfar dan permohonan maaf. Semoga Allah Taala ampunkan dosa-dosa kita," kata Ketuanya Zuridan Mohd Daud jelaskan perkara itu melibatkan insan mulia yang dijanjikan syurga.
Tidak tamat belajar
Sementara itu, Nik Zawawi turut membidas pihak yang mengkritiknya tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripadanya, dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin PAS.
Malah, katanya, ada antara pengkritiknya yang “tidak tamat belajar”.
"Apa pula timbul mencaci sahabat kena minta bertaubat sekalipun telefon dulu kat saya tanya khabar (dapatkan penjelasan).
"Orang yang komen dia belajar luar negara, belajar pun tak habis.
“Saya tak nak marah kepada sesiapa, saya maafkan pada sesiapa, tetapi fahamlah apa yang saya maksudkan," katanya lagi.
