mk-logo
Berita
Kebakaran di P Pinang: Pemuda MCA gesa peraturan jelas jualan bunga api
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Pemuda MCA menggesa kerajaan memperkenalkan peraturan jelas berhubung penjualan bunga api di negara ini, sambil menegaskan usaha menghalalkan produk itu mesti disertai piawaian yang terang dan boleh dikuatkuasakan.

Merujuk kebakaran terbaru di sebuah gerai bunga api di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang turut merosakkan sebuah motosikal dan tiga unit penghawa dingin rumah berhampiran, Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung berkata insiden itu tidak boleh dianggap terpencil.

Sebaliknya, dia berhujah kejadian tersebut merupakan 'petunjuk jelas' kepada kegagalan berpanjangan dalam aspek peraturan dan penguatkuasaan jualan bunga api di seluruh negara.

"Rakyat berhak mempersoalkan: Mengapa bahan mudah terbakar berisiko tinggi boleh dijual berhampiran kawasan perumahan?

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung.

"Mengapa penyimpanan dan pameran bunga api serta mercun tidak mempunyai piawaian keselamatan yang jelas dan ketat?

"Adakah proses kelulusan dan penguatkuasaan hanya sekadar formaliti? Adakah wujud penguatkuasaan terpilih atau sikap ‘tutup sebelah mata’ yang berlarutan?

"Sekiranya kerajaan telah menetapkan garis panduan keselamatan tetapi gagal melaksanakannya dengan berkesan, maka itu merupakan kegagalan penguatkuasaan; dan jika peraturan asas keselamatan pun belum diwujudkan, maka ia adalah satu kecuaian serius yang seolah-olah mengabaikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat," katanya pada satu kenyataan.

Saw turut merujuk pengesahan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Nor Hisham Mohammad (gambar bawah) bahawa terdapat peningkatan 494 peratus kes kebakaran melibatkan premis menjual mercun dan bunga api tahun lalu, dengan jumlah melonjak kepada 113 kes pada 2025 berbanding 19 kes pada 2024.

Melahirkan kekesalan terhadap ketiadaan tindak balas bermakna atau terselaras daripada kerajaan, Saw menegaskan keadaan itu amat mengecewakan apabila perbincangan mengenai penghalalan masih diteruskan namun hampir tiada kemajuan dalam mewujudkan kerangka undang-undang dan keselamatan yang diperlukan.

Pada 2023, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Putrajaya bersetuju menghalalkan penjualan bunga api dan mercun sebagai sebahagian usaha membendung penyeludupan produk tersebut.

Susulan insiden di Pulau Pinang lewat malam tadi, New Straits Times memetik Nga sebagai berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi gerai bunga api sementara akan dikaji semula.

Sambil memaklumkan kementerian akan meneliti beberapa keperluan termasuk memastikan gerai berlesen dilengkapi alat pemadam api berfungsi, Nga menambah SOP itu juga perlu menetapkan zon penampan sesuai antara gerai, struktur kekal dan bangunan kediaman.

Walaupun Majlis Bandaraya Seberang Perai telah membatalkan permit gerai terlibat, polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian melibatkan bahan letupan.

Namun, Saw menegaskan peraturan bunga api mesti ditangani melalui kerangka berstruktur dan jangka panjang, bukannya “tindakan sementara” selepas berlakunya insiden.

Selain menggesa siasatan bebas terhadap kejadian di Nibong Tebal, dia turut menyeru kerajaan mendedahkan hasil siasatan kepada umum, sambil menegaskan ketelusan penting untuk memulihkan keyakinan awam.

Tambahnya, sebarang kecuaian atau kegagalan — sama ada oleh pengendali atau pihak berkuasa — mesti ditangani dan pihak berkenaan perlu dipertanggungjawabkan, di samping semakan menyeluruh terhadap peranan dan prestasi pihak berkuasa tempatan serta agensi penguat kuasa.

"Jika keselamatan awam yang paling asas pun gagal dipertahankan, maka sebarang slogan tidak akan mampu membina kepercayaan sebenar.

"Kerajaan mesti bertindak dengan langkah konkrit bagi menjawab kebimbangan rakyat dan mengelakkan tragedi seumpama ini daripada terus berulang,” kata Saw lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS