Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Zaliha sahkan undian semula di tiga cabang

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengesahkan undian semula akan diadakan untuk tiga cabang - iaitu Selayang, Jempol dan Silam - sebelum Kongres Nasional bulan depan.

Pengarah JPP PKR Dr Zaliha Mustafa berkata undian semula hanya akan melibatkan “keputusan kecil” beberapa cabang.

“Nanti saya akan keluarkan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Pemilihan peringkat cabang yang baru sahaja selesai melibatkan pemilihan pemimpin utama cabang serta kepimpinan sayap Angkatan Muda dan Wanita peringkat cabang bagi penggal 2025-2028.

Ditanya berkenaan jumlah aduan dan rayuan yang dibuat kepada JPP, Zaliha tidak menyatakan jumlahnya secara spesifik dan sebaliknya berkata,” dari sudut aduan, memang sangat kurang daripada apa yang diterima semasa pemilihan sebelum ini.”

“(Sebelum ini) sampai ribuan, sekarang beberapa ratus sahaja. Bantahan ada beberapa peringkat - pencalonan, kempen dan keputusan.

“Ini semua kita akan lihat satu-persatu. Sebahagian besar kita sudah ambil tindakan dan insyaAllah kita akan lihat dengan terperinci aduan yang dibuat secara rasmi kepada JPP,” katanya lagi.

Zaliha turut mengesahkan jawatankuasa yang mengandalikan aduan dan bantahan belum membuat keputusan muktamad.

Ia termasuk aduan yang dibuat nama-nama berprofil tinggi, antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Nasir.

Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan ketua cabang Setiawangsa selepas tewas di tangan Afdlin Shauki, manakala Akmal tewas kepada Ketua Pemuda PKR Johor Taufiq Ismail untuk jawatan ketua cabang Johor Bahru.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS