Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tuduhan Hassan terhadap kartel politik PKR tak berasas, kata exco AMK
Diterbitkan:  Apr 23, 2025 5:51 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) membalas kritikan veteran parti itu Hassan Karim, yang melabelkan inisiatif 'Ayuh Malaysia' sebagai “politik kartel” dan “Politik elit”.

Dalam satu kenyataan, exco AMK, Arshad Hassni, mendakwa tuduhan yang dibuat oleh Hassan itu adalah “tidak berasas”.

Kata Arshad, dia sendiri terlibat secara langsung dalam menggerakkan inisiatif Ayuh Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Tuduhan ini bukan sahaja tidak berasas, malah tidak adil terhadap usaha ikhlas yang digerakkan oleh pelbagai pihak demi memperkukuh jentera parti dalam menghadapi pilihan raya.

"Perlu diingatkan, Ayuh Malaysia adalah inisiatif yang lahir daripada keperluan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar – satu golongan penting terutamanya di kerusi-kerusi marginal yang menentukan kemenangan atau kekalahan parti.

"Ia digerakkan oleh Rafizi Ramli dan Nurul Izzah sejak Mac 2022, meneruskan pendekatan yang terbukti berkesan pada PRU14. Kempen ini bukan sekadar idea di atas kertas, tetapi melibatkan ribuan sukarelawan akar umbi yang turun ke lapangan untuk memperkuatkan jentera parti di medan sebenar," kata Arshad.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kritikan Hassan pada Isnin lalu terhadap pimpinan parti yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mendakwa beberapa "tokoh besar" tewas dalam pemilihan cabang parti itu tahun ini kerana akar umbi menolak politik kartel, khususnya mereka yang terlibat dalam gerakan “Ayuh Malaysia” yang dikaitkan dengan Rafizi.

Hassan turut mendakwa ramai yang tewas dalam pemilihan ketua cabang wajar digugurkan kerana telah menjadi “elit” dan meninggalkan penyokong selepas mendapat jawatan.

Mengulas lanjut, Arshad berkata tuduhan sedemikian mewujudkan persepsi bahawa Ayuh Malaysia adalah kelompok berkepentingan dan sekali gus menafikan sumbangan para sukarelawan serta aktivis yang bekerja keras memastikan PKR terus relevan.

Pemimpin AMK itu turut menyelar Hassan kerana melabelkan menteri dan timbalan menteri PKR sebagai “elit”, sambil menjelaskan peranan mereka memerlukan keseimbangan antara mentadbir negara dan mendekati akar umbi parti.

"Sehubungan itu, saya menyeru agar proses pemilihan parti yang sedang berlangsung tidak dijadikan medan untuk menyerang individu atau kelompok tertentu secara sengaja.

"Pemilihan seharusnya menjadi ruang memperkukuh perpaduan, bukan medan perpecahan," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS