Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua 31 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini dilaksanakan segera.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perdana menteri membuat arahan tersebut pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Hasil daripada lawatan negara China baru-baru ini antara lain kerajaan telah memeterai 31 MoU persefahaman di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China dan arahan perdana menteri adalah semua MoU ini perlu segera dilaksanakan.

“Kabinet telah memutuskan bahawa kementerian luar akan menjadi kementerian yang akan menyelaras pelaksanaan bagi MoU yang telah ditandatangani ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata antara yang disentuh dalam satu daripada Mou berkenaan adalah berhubung cadangan Twin Hub antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Henan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataan hari ini berkata kerjasama itu sejajar dengan kepentingan bersama kedua-dua negara dan dijangka dapat meningkatkan kapasiti logistik udara serantau di samping memudahkan hubungan ekonomi yang lebih erat.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Anwar dan Xi telah menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen, yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.

Ia berlangsung semasa Presiden Xi mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan ini adalah kunjungan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Sementara itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi memaklumkan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan kini di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk rundingan dan mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif.

"Dalam masa beberapa hari ini, mereka akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari AS untuk membincangkan permulaan siri perbincangan mengenai tarif tersebut.

"Kita perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri. Harapan saya minggu depan kita ada sedikit maklumat hasil daripada lawatan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan diberi peluang untuk membahaskan serta memberi pandangan mereka berhubung tarif dikenakan AS kepada Malaysia pada sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini.

Katanya, pada sidang yang bermula pukul 11 pagi itu, perdana menteri akan memulakan kenyataan disusuli perbahasan oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

Sesi khas itu kemudian akan digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan.

“Ini akan diadakan seperti yang telah diumumkan sebelum ini pada 5 Mei depan, cuma hari ini ketua majlis (perdana menteri) akan mengutuskan surat kepada semua ahli-ahli parlimen yang akan dihantar pada hari ini,” katanya.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.

AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS