Seorang warga India berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas lapan pertuduhan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), susulan cubaan menyeludup pelbagai spesies haiwan termasuk kura-kura, penyu dan biawak dari Malaysia ke Tamil Nadu.
Tertuduh, Abdul Jaffar Mohideen Abdul Kadar, dari Panpoli, Tamil Nadu, didakwa melakukan kesalahan itu di Pintu H8, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 malam, 15 April lalu.
Lelaki tersebut, yang bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia selama 18 tahun, menghadapi empat pertuduhan utama dan empat pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Antara pertuduhan, Abdul Jaffar didakwa cuba mengeksport lima ekor biawak harlequin dan empat ekor penyu hutan Sulawesi, yang dikategorikan sebagai haiwan dilindungi, tanpa permit khas mengikut Seksyen 71 Akta 716.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM500,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dia turut didakwa memiliki haiwan yang sama tanpa permit khas, mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan denda RM20,000 bagi setiap haiwan (tidak melebihi jumlah keseluruhan RM1 juta) atau penjara tidak melebihi tujuh tahun enam bulan.
Selain itu, tertuduh didakwa cuba mengeksport tiga ekor kura-kura African spurred dan dua ekor biawak lace, juga tanpa permit khas, mengikut Seksyen 65, yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun.
Bagi kesalahan memiliki haiwan tersebut tanpa permit khas, Abdul Jaffar turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 60(1)(a) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir.
Hakim Ahmad Fuad menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan 27 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
Rantaian penyeludupan hidupan liar di KLIA berterusan
Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi lelaki warga India diberkas oleh pasukan keselamatan KLIA dan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 20 April, kerana cuba menyeludup hidupan liar ke India.

Bertindak atas maklumat risikan, pasukan itu bersama polis bantuan KLIA menahan seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, India.
Pemeriksaan lanjut pada bagasinya menemui seekor ungka dan enam ekor kura-kura red-eared slider, yang berjaya diselamatkan.
Menurut Perhilitan, suspek gagal mengemukakan sebarang permit untuk mengeksport haiwan tersebut keluar dari negara ini.
Mahkamah Majistret Sepang kemudian membenarkan perintah reman lima hari terhadap lelaki terbabit sehingga Jumaat.
Malaysia hab transit seludup haiwan
Kes-kes ini antara siri insiden penyeludupan hidupan liar yang melibatkan penumpang udara di KLIA sejak beberapa bulan lalu.
Perhilitan sebelum ini beberapa kali mengeluarkan amaran kepada mana-mana individu agar tidak memelihara haiwan liar secara haram atau terlibat dalam jenayah hidupan liar dan menyeru mereka menghentikan aktiviti tersebut atau berdepan tindakan tegas.
Orang ramai boleh membantu usaha penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat melalui talian hotline Perhilitan 1800-88-5151 atau melalui laman web rasmi jabatan itu.

Malaysia dianggap sebagai salah satu pusat transit utama bagi penyeludupan haiwan terancam ke negara-negara lain di Asia.
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari negara ini.
Dia menyifatkan perkara berkenaan isu serius dan menuntut pihak pengendali lapangan terbang mengambil tindakan segera.
Untuk makluman, bagasi daftar masuk terletak di bawah tanggungjawab perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB dan bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam.
