Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Pahang desak tubuh RCI siasat pencerobohan tanah
Diterbitkan:  Apr 23, 2025 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Isu pencerobohan tanah di Pahang, termasuk dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) perlu disiasat dengan telus dan teliti, kata Bersatu negeri itu.

Justeru, parti berkenaan berkata, ada keperluan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi tujuan berkenaan.

Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin, berkata selain penubuhan RCI, audit forensik juga wajar dipertimbangkan kerajaan negeri bagi mengenalpasti kawasan HSK yang menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu ini kritikal kerana ia mengakibatkan kehilangan hasil yang besar kepada kerajaan negeri.

"Selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketika pembukaan sidang dewan undangan negeri (DUN) pada Jumaat lalu, jelas ia adalah perkara yang serius.

"Tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dalam isu berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan di Kuantan, Pahang, hari ini.

Jasri yang juga Adun Kuala Sentul turut menyatakan rasa kesal apabila dia 'diganggu' oleh wakil kerajaan semasa tiba gilirannya membahaskan titah diraja pada sesi sidang DUN semalam.

Dia bagaimanapun berharap kerajaan Pahang mempertimbangkan cadangan penubuhan RCI bagi mencari jalan penyelesaian membabitkan isu pencerobohan tanah yang dikatakan sudah berlaku sejak empat dekad lalu.

Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak 14,494.9 hektar tanah milik kerajaan dan 5,997.09 hektar HSK diceroboh dan diusahakan secara haram.

Pencerobohan ini bukan sahaja merugikan negeri Pahang dari segi hasil, tetapi juga mencemarkan integriti pentadbiran dan kedaulatan undang-undang.

"Tindakan undang-undang mesti diambil tanpa pilih kasih, termasuk terhadap individu berkepentingan dan berpengaruh politik.

"Undang-undang tidak mengenal pangkat atau kedudukan; keadilan mesti ditegakkan secara saksama," titah baginda.

Cadangan sama turut disuarakan Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam.

Adun Cheka itu berkata, penubuhan RCI sangat penting untuk menyiasat secara bebas dan menyeluruh berhubung isu yang menjadi perhatian ramai berkenaan.

Tuan Ibrahim menambah, walaupun Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, sudah melakukan tinjauan udara ke kawasan diceroboh, namun langkah lebih telus dan bebas amat diperlukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS