Premier Sarawak Abang Johari Openg menjadi calon tunggal untuk dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) selepas dua lagi calon jawatan itu menarik diri.
Ahli Parlimen Arau yang juga penyandang Naib YDP Perkim Shahidan Kassim hari ini mengumumkan menarik diri selepas dicalonkan sebagai YDP.
Seorang lagi calon YDP, Nakhaei Ahmad turut mengundurkan diri daripada bertanding jawatan itu.
Bagaimanapun kedua-dua mereka memilih untuk bertanding bagi jawatan Naib YDP.
Shahidan berkata, jawatan YDP Perkim disandang bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri.
Justeru katanya, setelah meneliti keperluan dan kepentingan organisasi serta mengambil kira keupayaan dan kepimpinan dimiliki Abang Johari, mereka membuat keputusan untuk menarik diri daripada pencalonan itu.
“Penarikan diri ini dibuat dengan penuh rela hati dan iltizam sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan di bawah Premier Sarawak bagi menerajui kepimpinan tertinggi Perkim.
“Dengan penarikan diri ini sekali gus membuka ruang kepada Premier Sarawak untuk menyandang jawatan YDP Perkim secara menang tanpa bertanding.
“Kami yakin kepimpinannya akan membawa Perkim ke tahap yang lebih cemerlang, menyeluruh dan inklusif, terutama dalam memperkukuh usaha dakwah serta pembangunan sahsiah dan kebajikan umat Islam di seluruh negara,” katanya.
Tambah Shahidan, Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-64 Perkim yang melibatkan pemilihan kepimpinan baru akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Susulan pengumuman ini, kita perlu menunggu maklum balas lanjut daripada Premier Sarawak,” katanya.
- Bernama
