Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi meminta pengundi Ayer Kuning supaya menangguhkan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini.
Katanya, pengundi beragama Islam tidak perlu untuk menangguhkan ibadah haji hanya semata-mata untuk mengundi PAS.
"Menangguhkan kemenangan PAS tidak bermakna menangguhkan kemenangan Islam. Maka pengundi tidak perlu menangguhkan ibadah haji dan umrah mereka.
"Belum tentu PAS menang maka Islam akan tertegak. Apatah lagi kalau PAS menang di PRK Ayer Kuning. Setakat menang satu kerusi tidak mengubah kerajaan perpaduan di Perak.
"Lebih baik tangguhkan kemenangan PAS. Menangguhkan kemenangan PAS bermakna menghentikan politik kebencian agama juga penggunaan ayat ayat al-Quran dan hadis sesuka hati. Ia termasuk fatwa-fatwa politik yang mengelirukan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Polemik mengenai isu penangguhan ibadah haji, umrah tercetus apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu program ceramah PN mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.
“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.
"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya.
Kenyataan itu mendapat bantahan sejumlah pihak, antaranya bekas pemimpin PAS Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyifatkannya boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, serta Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan yang berpandangan ia satu bentuk penyalahgunaan fakta sejarah Islam.

"PAS pun tidak membuktikan apa apa bila berkuasa. Seperti di Kelantan dan Terengganu. Apa kejayaan PAS?
"Tangguh kemenangan PAS. Jangan tangguh haji dan umrah," kata Puad lagi.
