Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reformasi masih hidup tapi tuntut kesabaran - Izzah
Diterbitkan:  Apr 23, 2025 12:15 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Bertentangan dengan sentimen yang semakin meningkat bahawa laungan perjuangan "reformasi" ikonik bapanya telah bertukar menjadi "reformati" - Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa agenda reformasi masih hidup, namun ia menuntut kesabaran dan ketabahan untuk merealisasikannya sepenuhnya.

Mendapat julukan sebagai “Puteri Reformasi” semasa kemuncak pergerakan itu, naib presiden PKR itu menegaskan bahawa perubahan bermakna tidak mempunyai jalan pintas.

Nurul Izzah juga mengakui perjuangan melaksanakan reformasi yang dijanjikan telah mendapat kritikan dan cemuhan segelintir pihak.

"Absolutely (semestinya, memang ada yang mengkritik agenda reformasi oleh PKR). Saya rasa itu memang sesuatu yang penting untuk kita persoalkan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengakui reformasi mengambil masa untuk direalisasikan, Nurul Izzah berkata adalah penting untuk pasukan itu terus berusaha supaya perjuangan itu tidak terkubur.

"Kami juga dalam pasukan. Kami sentiasa memberi ruang kepada setiap seorang. Kita kena secara kritis (perlu) memikirkan cara-cara untuk memperbaiki.

"Jadi isunya kritikan yang kita mahu bina. Lakukannya demi parti dan negara. Ya, kita tak boleh nak kata semuanya (yang) kita buat adalah benar. Tidak.

"Setiap generasi akan ada perjuangan dan struggle (cabaran). Tak boleh katakan oh ini (reformasi) sudah terkubur. Kita harus hidupkan kembali melalui tindak-tanduk dan juga keputusan yang kita ambil," tambahnya.

Sambil menyatakan proses itu mungkin mengambil masa, bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu menggesa semua pihak terutama ahli PKR supaya berani memastikan objektif itu diteruskan selaras dengan prinsip yang ditetapkan sebelum ini.

"Dari segi yang kita lakukan, yang penting (adalah) hala tuju. Jadi saya berharap, saya sendiri, ...kita adalah pelengkap kepada proses ini.

"Saya hanya boleh berkongsi apa yang saya rasai. Saya sentiasa berasakan macam dalam hidup ini, kita ada peluang ini saja yang kita harus manfaatkan.

"Kalau ikutkan hati, semua orang nak jalan mudah. Tetapi dalam masa yang sama, kita lihat saudara kita terpaksa melalui jalan mengerikan maka kita perlu memberanikan diri kita," tambahnya.

Bapa Nurul, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi tonggak utama gerakan reformasi, disasarkan oleh pengkritiknya berhubung janji pelaksanaan perubahan besar yang pernah diperjuangkannya.

Kumpulan masyarakat sivil, penganalisis politik, dan juga beberapa penyokong lamanya telah menyuarakan kebimbangan bahawa pentadbiran Anwar masih belum membongkar sistem yang telah berakar umbi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS