SPRM masih menunggu laporan forensik berhubung video berkaitan skandal rasuah Sabah yang diserahkan kepada suruhanjaya itu pada 11 Mac lalu.
“Saya jangkakan laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana pihak forensik sedang menjalankan penelitian secara terperinci terhadap kesemua 10 rakaman audio itu.
"Seperti yang saya maklumkan ketika sidang media di Sabah beberapa minggu lalu, lapan individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk satu kes baharu melibatkan tohmahan yang turut disiasat,” katanya dipetik Sinar Harian.
Azam meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Sebelum ini, Azam menegaskan dakwaan rasuah melibatkan Adun bukan perkara yang boleh dilindungi, malah siasatan masih diteruskan.
"Saya dah beritahu sebelum ini, ada dua kertas siasatan dibuka iaitu terhadap Albert (pemberi maklumat) dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) (Jontih Enggihon) dan membabitkan lapan Adun itu serta video itu.
"Jadi semua pihak perlu faham dan saya dah jelas banyak kali.., jadi saya harap semua kena bersabarlah.
"Dalam kita menjalankan siasatan ini, kita tidak 'fully guided' (ikut telunjuk) kita bukan ikut cakap public opinion (pendapat awam) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya dipetik media pada 10 April.
Selain rakaman itu, pemberi maklumat juga telah mendedahkan banyak mesej WhatsApp mengenai perbualannya dengan Adun yang didakwa terlibat dalam skandal itu.
Ahli perniagaan itu telah menuduh Adun berkenaan menerima rasuah daripadanya sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.
Bulan lalu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata Lawyers for Liberty, yang diasaskannya bersama, akan menyerahkan video asal kepada suruhanjaya itu.
Ini berlaku susulan pemberi maklumat mengeluarkan satu lagi video dan tangkapan skrin mesej WhatsApp, membabitkan Speaker DUN Sabah Kadzim Yahya.
Berikutan itu, Albert dipanggil untuk disoal siasat selama dua hari, dengan sesi kedua pada 13 Mac berlangsung selama 11 jam.
Peguam yang mewakili ahli perniagaan berusia 36 tahun itu Mahajoth Singh berkata Albert memberikan kerjasama penuh sepanjang proses itu dan memberikan kenyataan hampir 50 muka surat.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor telah mendakwa bahawa video itu adalah sebahagian daripada kempen untuk mencemarkan pentadbirannya.
Ahli perniagaan itu juga dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah.
