Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pihaknya sedang menyiasat satu hantaran media sosial yang menggunakan imej dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).
"Susulan itu, pelbagai spekulasi dan persepsi negatif telah timbul dalam kalangan orang awam, berkaitan pekebun haram di daerah Raub, Pahang," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, meskipun hantaran tersebut tidak menyatakan secara jelas imej itu palsu namun kandungannya bersifat fiksyen.
Difahamkan, hantaran yang disiasat mendakwa selain durian Musang King, kawasan tanah itu juga mengandungi "vibranium dan adamantium".
“The Avengers dan Wakanda akan turun selepas ini,” tulis pemilik akaun berkenaan di Facebook.
Hantaran tersebut disertakan dengan imej pokok durian, berlatar belakangkan satu operasi perlombongan berskala besar.
Untuk rekod, vibranium dan adamantium merupakan logam rekaan fiksyen daripada komik dan filem terbitan Marvel — dengan vibranium dikatakan hanya boleh ditemui di negara Afrika rekaan Wakanda.
Dalam alam fiksyen Marvel, vibranium digunakan untuk membuat perisai Captain America manakala adamantium aloi logam terkenal yang membentuk struktur tulang watak mutan Wolverine.
Sementara itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah merekodkan keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya semalam, dan turut merampas sebuah telefon bimbit.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“MCMC tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi tujuan penyebaran hantaran atau komentar palsu,” katanya.
Sementara itu, komen di bawah hantaran asal menunjukkan imej tersebut dicipta menggunakan teknologi AI dan pada asalnya dimuat naik dalam sebuah kumpulan Facebook yang berkongsi imej rekaan seperti itu.
Hantaran asal — yang dengan jelas menyatakan gambar itu palsu — hanya bergurau mengenai pembinaan lebuh raya baru di satu lokasi rahsia.
Untuk konteks, kerajaan negeri Pahang kini giat mengambil semula ladang durian tanpa lesen secara besar-besaran melalui usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan syarikat swasta Royal Pahang Durian Resources (RPDR) yang dikaitkan dengan kerabat diraja.
Tindakan ini mencetuskan konflik dengan pekebun tempatan yang mendakwa mereka mengusahakan tanah berkenaan sejak berdekad lamanya dan telah berkali-kali memohon kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.
