Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam gesa MP Pasir Mas bantu perjuang keadilan buat Wan Ahmad Faris
Diterbitkan:  Apr 22, 2025 10:39 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Seorang peguam yang mewakili ahli keluarga pelajar tahfiz yang ditemui mati di tandas sekolah, 13 tahun lalu, menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari untuk membantu dalam memperjuangkan keadilan.

Ketika membuat gesaan itu, peguam Liyana Marzuki membuat perbandingan dengan kes Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, itu dengan kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang diperjuangkan PAS.

“Saya mendesak Fadhli perjuangkan nasib arwah dan ibu bapanya, sebagaimana PAS perjuangkan nasib arwah Adib.

"Janganlah kerana tiada laba politik, kes ini dipandang sepi," katanya pada penghujung catatan Facebook bertajuk "post-mortem" yang mengimbas kembali insiden kematian pelajar itu dan perkembangan seterusnya.

Kenyataan Liyana terhadap Fadhli itu berdasarkan peranan pemimpin PAS berkenaan membangkitkan isu berkaitan kematian Adib, dalam pelbagai kempen pilihan raya.

Adib merupakan anggota bomba yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami semasa rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, pada November, 2018.

Sementara itu, Liyana menceritakan bagaimana kematian pelajar tahfiz itu pada mulanya disyaki kerana bunuh diri berdasarkan penemuan awal, selepas warden asrama menyedari bau busuk datang dari tandas berkunci di Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas.

"Tarikh kematian dijangka empat hari sebelum berdasarkan kehadiran larva dan lalat dalam tubuh mangsa. Empat hari itu juga, tiada siapa yang mencari atau memantau di mana arwah sebenarnya," katanya.

Liyana berkata pegawai penyiasat awal dan doktor yang menjalankan bedah siasat semasa inkues berikutnya mengekalkan kematian itu akibat bunuh diri, walaupun banyak persoalan dibangkitkan berdasarkan keadaan kematian pelajar itu.

"Ibunya Makcik Rohani beritahu kepada saya, ketika beliau pertama kali melihat mayat arwah, hancur lebur hatinya. Anaknya sudah tidak bernyawa, difitnah bunuh diri pula.

"Ketika mendakap arwah di kepala, butiran pasir jatuh dari kepala arwah. Beliau percaya, anaknya dibunuh di padang sekolah, digantung di tandas hanya untuk lakonan. Lindungi pembunuh berperangai syaitan," kata Liyana merujuk kepada Rohani Hussin, seorang pesara jururawat dari Kota Bharu.

Dilaporkan sebelum ini, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016, memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris adalah disebabkan tindakan individu tidak dikenali, dan menolak kemungkinan bunuh diri.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa pelbagai percubaan keluarga pelajar itu untuk menuntut tindakan berdasarkan penemuan inkues telah gagal, dan kes itu diklasifikasikan sebagai "Tiada Tindakan Lanjut" sejak 2020.

Rohani dilaporkan berkata keluarga itu sedang bersedia untuk memfailkan saman terhadap individu yang belum dikenal pasti, dan menuntut siasatan semula kematian Wan Ahmad Faris.

"Sejak 12 tahun dulu, ibu bapanya menanti. Arwah pula menunggu di negeri abadi.

"Doakan kini tiba masanya keadilan tertegak jua. Setelah ramai menunggu sekian lama.

"Harap si pembunuh tak senang duduk kini kerana janji Allah itu pasti. Kebenaran akan berpihak kepada yang dizalimi," kata Liyana.

Dilaporkan bahawa tuntutan mahkamah itu juga akan mendapatkan pampasan atas dakwaan kecuaian dalam siasatan sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS