Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketika pilihan raya kecil (PRK) DUN Ayer Kuning menyaksikan pertarungan antara dua gabungan politik utama, parti kecil seperti PSM tetap nekad mengetengahkan suara mereka di kawasan DUN itu.

Walaupun tewas dalam pertembungan lima penjuru bagi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15, parti ‘kuasa ketiga’ itu yakin terdapat pengundi di beberapa kawasan yang akan memberikan sokongan kepada mereka.

Antaranya ialah pengundi di Pusat Daerah Mengundi Ayer Kuning Selatan, yang dilihat sebagai lokasi tumpuan PSM dalam meraih undi.

Parti tersebut membuka pusat gerakan di sebuah premis dalam deretan kedai di kawasan itu, yang dihiasi dengan bendera merah, serta pembesar suara yang membunyikan lagu tema dan slogan PSM.

Dengan kehadiran sukarelawan yang bersemangat dan penduduk yang ingin tahu lebih lanjut, ‘bilik perang’ PSM yang menyediakan hidangan masakan sendiri itu menjadi pusat tumpuan aktiviti — lebih-lebih lagi kerana calon mereka cukup dikenali di kawasan tersebut.

Calon PSM di Ayer Kuning, Bawani KS, membesar di salah sebuah rumah berhampiran bilik gerakan tersebut, malah ramai ahli keluarganya masih tinggal di situ.

Pada PRU15 yang lalu, semasa pertama kali mencuba merebut kerusi itu daripada BN, PSM memperoleh 111 undi dari Ayer Kuning Selatan — kira-kira 14 peratus daripada jumlah undi di pusat mengundi itu.

Jumlah itu hanya dibezakan satu undi berbanding calon Umno, Ishsam Shahruddin, yang kemudiannya memenangi kerusi tersebut.

Calon Amanah, Mohd Nazri Hashim mendahului dengan 483 undi di pusat mengundi tersebut, manakala PSM jauh mengatasi calon PAS, Nur Farid Zainal, yang hanya mendapat 23 undi.

Chong Yee Shan

Ketika ditanya mengenai faktor pengaruh PSM di kawasan itu, ahli jawatankuasa pusat PSM, Chong Yee Shan, berkata pengundi di kawasan majoriti bukan Melayu itu enggan menyokong PN kerana taktik "menakut-nakutkan" yang kerap digunakan.

“(Semasa pilihan raya lalu), PN tidak berusaha keras untuk mendapatkan undi daripada masyarakat Cina secara umumnya, (sebab itu) PSM berjaya di saluran-saluran majoriti Cina berbanding kawasan lain,” kata Chong kepada Malaysiakini.

Ketua Biro Komunikasi PSM bagi pilihan raya kecil itu berkata pemerhatian mereka terhadap sentimen pengundi setakat ini menunjukkan sebahagian daripada pengundi mungkin tidak akan keluar mengundi langsung kerana tidak mahu menyokong sama ada BN mahupun PN.

Sehubungan itu, katanya, PSM berhasrat memanfaatkan kedudukannya sebagai alternatif berbanding dua parti besar tersebut, yang masing-masing telah mencalonkan ustaz sebagai calon mereka.

“Walaupun kadar keluar mengundi rendah, kami berharap dapat meraih lebih banyak undi dari Ayer Kuning Selatan kali ini.

“Keadaannya mungkin berbeza jika Pakatan Harapan meletakkan calon di sini, tetapi buat masa ini, rakyat mungkin memilih untuk mengundi PSM sebagai kuasa ketiga,” tambahnya.

Dalam pertandingan sebelum ini bagi salah satu daripada dua kerusi DUN di bawah Parlimen Tapah, PSM telah memperoleh sejumlah 586 undi. Namun, parti itu dijangka berdepan cabaran besar untuk sekurang-kurangnya mempertahankan wang deposit dalam pilihan raya kecil kali ini.

Dalam satu perbualan ringkas di luar rumah keluarganya yang hanya beberapa pintu dari rumah Bawani, seorang pengundi memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun calon itu dikenali ramai di kawasan tersebut, sukar bagi penduduk untuk mengetepikan pengaruh BN yang telah bertapak sekian lama.

“Bawani baik, dari kecil sampai besar saya kenal dia, tapi parti (PSM) tak besar, mungkin kalau dia campur (dengan BN) dia boleh menang, ada je orang sokong dia, dan dia orang sini.

“Di sini BN cukup tolong (penduduk), PAS langsung tak ada,” kata Ramakirshnan Ravoo, 62, yang mengakui keluarganya telah menyokong BN selama tiga generasi.

Pengundi Ayer Kuning Ramakirshnan Ravoo dan isteri

Ramalan PSM mengenai kadar keluar mengundi mungkin ada asasnya, memandangkan di beberapa kawasan lain di Ayer Kuning, pengundi yang ditemui Malaysiakini kelihatan kecewa dengan janji-janji politik yang tidak ditepati.

Chan Tuck Keong, 48, seorang pengundi dari Kampung Coldstream, meluahkan kekecewaannya apabila calon yang bertanding gagal menangani masalah tekanan air rendah yang berlarutan di kawasan itu.

"Bawani bila datang kempen dulu (PRU15) ada cakap dia mahu tolong kita (masalah tekanan air rendah), dia kata kalah atau menang dia akan kasi settle, tapi tak ada apa pun, sama saja sekarang masih problem.

"Kita contact (hubungi) MCA pun sama saja,” katanya ketika ditemui di kopitiam miliknya yang menjual pelbagai jenis mi pada waktu pagi.

Seorang lagi pengundi yang berniaga di situ, Lee Wong San, 70, -menyatakan tidak berhasrat keluar mengundi hujung minggu ini kerana 'siapa pun yang menang, takkan tolong kami'.

"Bila mahu kita undi dia cakap dengan apa bangsa pun dia okay, panggil kita semua kawan, lepas undi sudah tak ada nampak.

"Undi atau tak undi, tak apa la, saya tak mahu undi, siapa menang pun serupa saja. Kalau saya undi, saya undi PSM, tak mahu kasi yang lain menang besar," ujarnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS