Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat pegawai unit integriti ditahan di pusat hiburan

Seorang pegawai unit integriti SPRM yang baru-baru ini ditahan polis ketika pemeriksaan di pusat hiburan kini sedang disiasat oleh suruhanjaya tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM mengesahkan telah mengambil maklum berhubung pemeriksaan mengejut pihak polis di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sebelum ini.

"Siasatan lanjut telah diserahkan kepada polis dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

"Sehubungan itu, SPRM juga telah membuka satu kertas siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci penglibatan pegawai tersebut untuk memastikan jika berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang.

SPRM turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawainya yang melanggar undang-undang.

Terdahulu, sumber dalaman polis memberitahu Malaysiakini dalam operasi di pusat hiburan itu, polis telah memeriksa tujuh kakitangan awam yang berada di situ.

Selain pegawai SPRM itu, turut diperiksa adalah seorang pegawai polis berpangkat ketua balai dan lima pegawai imigresen.

Untuk rekod, pegawai SPRM itu pernah dilantik sebagai ketua unit integriti Jabatan Imigresen bagi sebuah negeri sebelum dipindah semula ke ibu pejabat SPRM.

Malaysiakini juga telah menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan maklum balas berhubung pemeriksaan ke atas pegawainya dalam operasi tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS